
KUALA LUMPUR, 31 Ogos – Peruntukan RM1 bilion bagi pelaksanaan Rekod Perubatan Elektronik (EMR) dilihat sebagai suntikan penting untuk memperkasa sistem kesihatan awam negara, termasuk mengurangkan masa menunggu pesakit di hospital dan klinik kerajaan.
- Pelaksanaan EMR secara sistematik memperkemas pengurusan rekod dan meningkatkan kecekapan perkhidmatan kesihatan.
- Keutamaan kepada perkhidmatan kesihatan primer, khususnya klinik kesihatan dan klinik desa, sebagai barisan hadapan.
- Manfaatkan kepakaran pembangun teknologi tempatan yang memahami kehendak dan keperluan rakyat Malaysia.
- Penyelenggaraan berterusan dan kepimpinan KKM diperlukan untuk memastikan manfaat jangka panjang serta mengelak pembaziran.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Profesor Emeritus Datuk Dr. Syed Mohamed Aljunid Syed Junid berkata, pelaksanaan EMR secara sistematik dan berkesan mampu memperkemas pengurusan rekod kesihatan pesakit, sekali gus meningkatkan kecekapan perkhidmatan kesihatan.
Katanya, keutamaan juga perlu diberikan kepada perkhidmatan kesihatan primer, khususnya klinik kesihatan dan klinik desa, yang menjadi barisan hadapan dalam menyediakan perkhidmatan pencegahan serta rawatan kepada rakyat.
“Perkhidmatan Rekod Perubatan Elektronik (EMR) ini, jika dilaksanakan dengan betul dan secara sistematik, akan dapat mengurangkan masa menunggu pesakit.
“Berilah keutamaan kepada perkhidmatan kesihatan primer kerana petugas barisan hadapan amat memerlukan EMR. Ia penting bagi memastikan perkhidmatan pencegahan dan rawatan dapat dijalankan dengan lebih berkesan, pantas serta mudah diakses oleh seluruh rakyat,” katanya kepada RTM.
Menurutnya, pembinaan sistem berkenaan juga wajar memanfaatkan sepenuhnya kepakaran pembangun teknologi tempatan yang lebih memahami kehendak serta keperluan rakyat Malaysia.
Dalam pada itu, beliau menegaskan, aspek penyelenggaraan sistem secara berterusan perlu diberi keutamaan bagi memastikan pelaburan besar kerajaan memberikan manfaat dalam jangka panjang.
Katanya, kegagalan memastikan sistem diselenggara dengan baik boleh menyebabkan peruntukan besar yang disalurkan tidak mencapai matlamat dan berisiko membawa kepada pembaziran.
Pada masa sama, beliau menzahirkan keyakinan terhadap kepimpinan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam memastikan pelaksanaan EMR dapat memperkukuh sistem kesihatan negara secara mampan.