
KUALA LUMPUR, 31 Ogos – Malaysia telah memohon kebenaran Kerajaan Nepal untuk mengatur gerak Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) susulan bencana banjir di negara itu.
- Perbualan telefon antara Mohamad Hasan dan rakan sejawat Nepal, menumpukan perkembangan operasi SAR dan usaha mengesan rakyat Malaysia hilang.
- Penghargaan disuarakan kepada Kerajaan Nepal atas bantuan dan kerjasama kepada Kedutaan Malaysia di Kathmandu.
- Kerajaan MADANI memutuskan menghantar Pasukan SMART untuk membantu operasi SAR susulan bencana banjir.
- Malaysia menyalurkan sumbangan US$1 juta untuk mangsa dan pemulihan; 55 rakyat Malaysia masih gagal dihubungi.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan perkara berkenaan, ketika perbualan telefon dengan rakan sejawatnya dari Nepal, Shisir Khanal.
Menerusi hantaran di Facebook, Datuk Seri Mohamad memaklumkan perbincangan tertumpu kepada perkembangan terkini operasi SAR, khususnya usaha mengesan rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi.
“Penghargaan kepada Kerajaan Nepal turut disuarakan atas segala bantuan serta kerjasama yang diberi kepada Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu dalam menghadapi situasi berkenaan,”menurut hantaran berkenaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad, dilaporkan berkata Kerajaan MADANI memutuskan untuk menghantar Pasukan SMART ke Nepal bertujuan membantu operasi SAR, susulan bencana banjir.
Malaysia juga bakal menyalurkan sumbangan sebanyak US$1 juta kepada Nepal bagi membantu mangsa yang terjejas serta menyokong usaha pemulihan pascabencana.
Kementerian Luar memaklumkan 55 rakyat Malaysia dilaporkan masih gagal dihubungi susulan banjir kilat dan tanah runtuh yang berlaku pada 26 Ogos.