Jerebu Sarawak : Pembenihan awan dijangka dilaksana 3 hingga 5 September

Timbalan Premier merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas (tengah) ketika mempengerusikan sidang media JPBNS / Foto ihsan FB Douglas Uggah Embas

KUCHING, 31 Ogos – Kerajaan negeri dijangka melaksanakan operasi pembenihan awan pada 3 hingga 5 September ini sekiranya keadaan cuaca memenuhi kriteria yang ditetapkan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi pembenihan awan bertujuan membantu menangani jerebu dan meningkatkan paras air empangan.
  • Pembenihan awan memerlukan keadaan atmosfera kondusif dan kehadiran awan sebagai sumber.
  • Kaedah pembenihan menggunakan garam; Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah dimaklumkan untuk meneruskan usaha.
  • METMalaysia akan mengadakan mesyuarat operasi bagi menyelaras pelaksanaan; tanpa kondisi sesuai, operasi berisiko gagal dan membazirkan kos.

Timbalan Premier merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, operasi itu bertujuan membantu menangani keadaan jerebu selain meningkatkan paras air di empangan.

Bagaimanapun, beliau berkata, operasi berkenaan memerlukan keadaan atmosfera yang sesuai dan kondusif bagi memastikan pembenihan awan dapat dilaksanakan dengan berkesan.

“Kita juga telah memaklumkan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) supaya pembenihan awan diteruskan, tetapi saya mahu orang awam memahami bahawa pembenihan awan menggunakan garam.

“Untuk melaksanakannya, kita memerlukan awan sebagai sumber atau kumpulan awan. Namun, kalau tidak ada awan, maknanya keadaan persekitaran tidak sesuai atau tidak kondusif untuk pembenihan awan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media JPBNS mengenai situasi jerebu di Sarawak di Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini.

Katanya, pelaksanaan pembenihan awan tanpa keadaan yang kondusif bukan sahaja berisiko tidak mencapai hasil yang diharapkan, malah boleh menyebabkan pembaziran kos operasi.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) akan mengadakan mesyuarat operasi pembenihan awan esok bagi menyelaras pelaksanaan operasi berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.