302 titik panas dikesan di Sarawak, 61 peratus direkodkan sepanjang Ogos

Foto fail Bomba Sarawak

KUCHING, 31 Ogos – Sebanyak 302 titik panas dikesan di Sarawak bagi tempoh Januari hingga 30 Ogos 2026, dengan 186 titik panas atau 61 peratus daripadanya direkodkan sepanjang Ogos.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sembilan titik panas dikesan kini: lima di Bintulu, dua di Samarahan, dua di Kapit.
  • Operasi di tujuh lokasi melibatkan 49 anggota dan 13 aset JBPM di Kuching, Samarahan, Sibu, Miri dan Limbang.
  • Negeri mempunyai kapasiti tenaga kerja, aset pemadaman dan sumber operasi mencukupi untuk tindak balas segera.
  • NREB meneruskan penguatkuasaan dan siasatan, bantuan air diagihkan dan JBALB menggerakkan lori tangki ke kawasan terjejas.

Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, sebanyak sembilan titik panas dikesan ketika ini, masing-masing lima di Bintulu serta dua di Samarahan dan dua di Kapit.

Katanya, setakat 30 Ogos, operasi di tujuh lokasi melibatkan 49 anggota dan 13 aset Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Kuching, Samarahan, Sibu, Miri dan Limbang.

Menurut beliau, Sarawak ketika ini mempunyai kapasiti tenaga kerja, aset pemadaman dan sumber operasi yang mencukupi bagi menangani titik panas yang dikenal pasti serta memberi tindak balas segera terhadap kejadian baharu.

“Kita perlu sentiasa bersedia dan memastikan anggota, aset serta sumber yang diperlukan berada dalam keadaan siap untuk digerakkan sekiranya keadaan memerlukan,” katanya pada sidang media JPBNS mengenai situasi jerebu di Sarawak di Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini.

Di peringkat negeri katanya, Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak meneruskan tindakan penguatkuasaan dan siasatan, termasuk menyediakan kertas siasatan sekiranya terdapat kesalahan yang menyumbang kepada kebakaran.

Dalam pada itu, bantuan bekalan air terus disalurkan kepada komuniti yang terjejas akibat kekurangan bekalan.

“Bagi tempoh Januari hingga 26 Ogos 2026, Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak telah menyalurkan bantuan air minuman membabitkan 1,943 kes, melibatkan 49,523 keluarga dan 225,822 orang di seluruh negeri.

Sebanyak 450,584 kotak air minuman telah diagihkan dengan nilai keseluruhan bantuan berjumlah RM7.73 juta,” katanya pada sidang media sama.

Sementara itu, bagi penghantaran air secara terus, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) menggerakkan lori tangki dan lori kontrak ke kawasan yang mengalami kekurangan bekalan.

Antara 18 hingga 29 Ogos, sebanyak 98 lori tangki dan lori kontrak membuat 680 perjalanan bagi menghantar 3,344,260 liter air ke Betong, Samarahan, Limbang, Sri Aman dan Miri.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.