
LANGKAWI, 31 Ogos – Sambutan Hari Kebangsaan di Pulau Tuba, Langkawi berlangsung meriah hari ini menerusi penganjuran pelbagai program yang bukan sahaja menyemarakkan semangat patriotik, malah menarik lebih 400 pengunjung ke pulau berkenaan.
- Pelbagai aktiviti seperti Tuba Run, sunathon kanak-kanak dan pertandingan memancing menarik penyertaan ramai.
- Program bertujuan memperkenalkan Pulau Tuba dan kawasan Selat sebagai lokasi berpotensi pelancongan.
- Projek Sinar Tuba: Festival Merdeka Komuniti Sihat 2026 fokus kesihatan, rekreasi dan kemasyarakatan, dengan kerjasama UiTM, UniMAP dan LADA.
- Penduduk dan peniaga setempat menjana pendapatan melalui jualan, manakala penganjuran berkala disarankan untuk merancakkan ekonomi.
Antara aktiviti yang mendapat perhatian ialah Tuba Run, sunathon beramai-ramai membabitkan 18 kanak-kanak serta pertandingan memancing yang disertai kira-kira 200 peserta.
Menurut penyelaras program, Mohd Fadzlan Nor, penganjuran aktiviti berkenaan bertujuan memperkenalkan Pulau Tuba dan kawasan Selat kepada masyarakat umum sebagai antara lokasi yang berpotensi menjadi tumpuan pelancong di Langkawi.
“Penganjuran program sempena Hari Kebangsaan itu turut memberi peluang kepada komuniti setempat untuk terlibat secara aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan pelancongan,”katanya pada media ketika Program Sunathon di Jeti Telur Bujur, Pulau Tuba, hari ini.
Turut diadakan ialah Projek Sinar Tuba: Festival Merdeka Komuniti Sihat 2026 yang menghimpunkan pelbagai aktiviti berunsurkan kesihatan, rekreasi dan kemasyarakatan.
Program berkenaan mendapat kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).
Penduduk tempatan menyifatkan penganjuran program seumpama itu wajar diteruskan secara berkala kerana mampu menarik lebih ramai pengunjung ke Pulau Tuba, sekali gus membantu meningkatkan pendapatan penduduk.
Peniaga tempatan, Nisa berkata, kehadiran pengunjung memberi peluang kepada penduduk termasuk suri rumah menjana pendapatan menerusi jualan makanan dan produk tempatan.
Seorang lagi peniaga, Rosliza Kasa pula berkata, aktiviti sebegitu mampu merancakkan ekonomi komuniti apabila lebih ramai pelancong dan pengunjung berkunjung ke pulau berkenaan.
Secara keseluruhannya, penganjuran pelbagai aktiviti sempena Hari Kebangsaan itu bukan sahaja memeriahkan sambutan kemerdekaan, malah memperkukuh potensi Pulau Tuba sebagai destinasi pelancongan komuniti di Langkawi.