
KUANTAN, 31 Ogos – Seramai 12 bayi Merdeka dilahirkan di hospital seluruh Pahang sejak tengah malam hingga 9 pagi ini.
- Enam bayi lelaki dan enam bayi perempuan dilaporkan.
- Lima kelahiran secara normal manakala tujuh melalui pembedahan.
- HTAA Kuantan merekodkan jumlah kelahiran tertinggi iaitu enam bayi.
- Kesemua bayi dilaporkan berada dalam keadaan sihat.
Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Dr Saiful Azlan Sharif berkata, daripada jumlah itu, enam merupakan bayi lelaki dan enam lagi bayi perempuan.
Menurut beliau, lima bayi dilahirkan secara normal manakala tujuh lagi menerusi kaedah pembedahan.
Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan merekodkan jumlah kelahiran tertinggi iaitu enam bayi, diikuti Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh dan Hospital Kuala Lipis masing-masing dua bayi.
Hospital Pekan dan Hospital Raub pula masing-masing merekodkan kelahiran seorang bayi.
Bayi paling awal dilahirkan ialah bayi lelaki seberat 3.68 kilogram di HOSHAS pada pukul 12.12 tengah malam.
Kesemua bayi berkenaan dilaporkan berada dalam keadaan sihat.