
GUA MUSANG, 31 Ogos – Jauh di kawasan pedalaman tidak pernah memudarkan semangat patriotik lebih 500 penduduk Orang Asli kaum Temiar di Pos Gob, Gua Musang, Kelantan untuk menyambut Hari Kebangsaan ke-69.
- Sambutan Hari Kebangsaan pertama secara besar-besaran di penempatan itu mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk.
- Pemimpin tempatan berkata acara itu memberi pengalaman bermakna dan memastikan penduduk turut merasai kemeriahan negara.
- Penduduk teruja menyaksikan pertunjukan bunga api dan menyanyikan lagu patriotik secara beramai-ramai.
- Acara mengeratkan hubungan antara penduduk dan pemimpin serta menyemai semangat cintakan negara, penduduk menghargai penganjur.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata, penduduk Orang Asli amat teruja apabila kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan dapat dibawa hingga ke kawasan penempatan mereka.
Menurutnya, program berkenaan merupakan sambutan Hari Kebangsaan pertama yang diadakan secara besar-besaran di Pos Gob, sekali gus mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat.
“Saya cukup teruja dengan sambutan rakyat kita di sini. Ia memberi pengalaman dan makna istimewa kepada masyarakat Orang Asli di kawasan berkenaan, selain memastikan mereka turut merasai kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan seperti yang dinikmati masyarakat di kawasan lain,” katanya.
Sementara itu, penduduk Orang Asli menyifatkan sambutan berkenaan sebagai pengalaman istimewa apabila berpeluang menyaksikan pertunjukan bunga api serta menyanyikan lagu-lagu patriotik secara beramai-ramai.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Gob, Adi Liman berkata, sambutan Hari Kebangsaan secara besar-besaran jarang dinikmati penduduk di kawasan pedalaman.
“Kemeriahan sambutan tahun ini memberikan suntikan semangat kepada penduduk setempat untuk bersama-sama menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan,” katanya.
Seorang lagi penduduk Pos Gob, Aman Angah turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan sambutan berkenaan.
Katanya, sambutan itu bukan sahaja mengeratkan hubungan antara penduduk dengan pemimpin setempat, malah menyemarakkan semangat cintakan negara dalam kalangan masyarakat Orang Asli di pedalaman.
“Sambutan ini memberi peluang kepada kami untuk bersama-sama meraikan Hari Kebangsaan dalam suasana yang lebih meriah dan penuh semangat patriotik,” katanya kepada RTM.