66 PMKS KUSKOP bawa produk tempatan ke MAHA 2026

Foto RTM

SERDANG, 31 Ogos – Sebanyak 66 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dibawa Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyertai pameran di Laman HPMKUSKOP @ MAHA 2026, sekali gus membuka peluang lebih luas kepada usahawan tempatan memasarkan produk mereka.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penyertaan itu mencatat sejarah sebagai pavilion khas sulung KUSKOP di MAHA 2026.
  • Laman HPMKUSKOP merekodkan lebih 15,000 pengunjung sepanjang beberapa hari penganjuran MAHA 2026.
  • Laman HPMKUSKOP menyasarkan nilai jualan RM500,000, jualan tiga hari pertama mencecah RM150,000.
  • Kerajaan memperkukuh sektor agro dengan lebih RM440 juta pembiayaan kepada kira-kira 35,000 usahawan dalam tujuh bulan pertama.

Penyertaan itu turut mencatat sejarah apabila MAHA 2026 menjadi penyertaan sulung KUSKOP dalam penganjuran pameran berkenaan menerusi sebuah pavilion khas yang mengetengahkan produk serta hasil keluaran usahawan PMKS.

Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, penyertaan berkenaan memberi peluang kepada usahawan tempatan, khususnya dalam sektor agro dan pertanian, memperkenalkan produk mereka kepada pengunjung selain memperluas pasaran.

Menurutnya, Laman HPMKUSKOP setakat ini merekodkan kehadiran lebih 15,000 pengunjung sepanjang beberapa hari penganjuran MAHA 2026.

“Saya tengok memang banyak jualan yang murah, orang kata harga ramah, jadi memberikan peluang kepada masyarakat untuk datang membeli barang-barang tersebut,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Laman HPMKUSKOP @ MAHA 2026 di District 2, MAEPS, Serdang, hari ini.

Dalam pada itu, Laman HPMKUSKOP menyasarkan nilai jualan sebanyak RM500,000 sepanjang tempoh penganjuran MAHA 2026.

Setakat tiga hari pertama, nilai jualan yang direkodkan mencecah RM150,000.

Steven Sim berkata, penyertaan usahawan PMKS di MAHA 2026 turut selari dengan usaha kerajaan memperkukuh sektor agro dan pertanian, termasuk menerusi penyediaan akses kepada pembiayaan.

Katanya, dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, lebih RM440 juta pembiayaan telah disalurkan kepada kira-kira 35,000 usahawan dan syarikat Malaysia dalam sektor agro dan pertanian.

Sementara itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan atas penganjuran MAHA 2026 yang disifatkan sebagai platform penting dalam membuka ruang lebih luas kepada usahawan tempatan untuk memasarkan produk serta mengembangkan perniagaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.