KBS, MSN beri ‘lampu hijau’ Azizulhasni buru tiket kelayakan LA28

Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 31 Ogos – Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang mendapat sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) untuk meneruskan misi memburu kelayakan ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

RINGKASAN BERITA AI
  • PKBM menyambut baik keputusan yang memberi kejelasan untuk Azizul memberi tumpuan sepenuhnya kepada kempen kelayakan Olimpik, acara keirin dan pecut.
  • MSN mengesahkan sokongan melalui surat bertarikh 30 Ogos 2026, menamakan Azizul sebagai pelumba pengumpul mata kelayakan LA28 bersama program RTG dan Podium.
  • Kejohanan Trek Dunia UCI 2026 di Shanghai pada Oktober menjadi pentas penting bagi mengumpul mata ranking menuju kelayakan LA28.

Dalam satu kenyataan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menyambut baik keputusan berkenaan yang disifatkan memberi kepastian kepada Datuk Azizulhasni untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada kempen kelayakan Olimpik bagi acara keirin dan pecut.

Datuk Amarjit Singh Gill berkata, sokongan itu penting bagi memastikan pelumba yang dikenali dengan julukan “The Pocket Rocketman” itu mempunyai laluan persiapan yang lebih jelas, bermula dengan Kejohanan Trek Dunia UCI 2026 di Shanghai pada Oktober depan.

“Kami amat gembira Kerajaan dan MSN telah memberi maklum balas yang positif. Ini merupakan satu keputusan penting bukan sahaja untuk (Datuk) Azizulhasni, tetapi juga untuk sukan berbasikal Malaysia dan aspirasi negara di LA28,” katanya.

Menurut Datuk Amarjit, Datuk Azizulhasni masih mampu bersaing di peringkat tertinggi berdasarkan prestasi semasa, selain pengalaman luas yang dimilikinya boleh membantu membimbing pelumba muda negara yang turut memburu tiket ke LA28.

Dalam kenyataan sama, PKBM memaklumkan MSN menerusi surat bertarikh 30 Ogos 2026 mengesahkan sokongan terhadap Datuk Azizulhasni sebagai antara pelumba trek negara yang akan mengumpul mata kelayakan Olimpik LA28, bersama atlet bawah program Road to Gold (RTG) dan Podium MSN.

Datuk Amarjit berkata, laluan yang kini lebih jelas membolehkan PKBM, KBS, MSN, jurulatih dan barisan sokongan memberi tumpuan kepada proses kelayakan serta memastikan Datuk Azizulhasni dan pelumba negara lain mendapat persiapan terbaik.

“(Datuk) Azizulhasni telah memberikan begitu banyak kepada sukan Malaysia dan beliau diperlukan oleh Malaysia untuk menggalas cabaran penting ini. Pengalaman, komitmen dan mentaliti juara yang dimilikinya kekal sebagai aset besar kepada program berbasikal trek negara,” tegasnya.

Kejohanan Trek Dunia UCI 2026 di Shanghai pada Oktober bakal menjadi antara pentas penting dalam usaha mengumpul mata ranking menuju kelayakan LA28.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.