
MELAKA, 31 Ogos – Sebanyak 150,000 pengunjung direkodkan menghadiri pelbagai program Sambutan Hari Kebangsaan Malaysia (HKM) 2026 peringkat negeri Melaka sepanjang tiga hari bermula 29 Ogos, kata Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
- Kehadiran lebih 75,000 di Dataran 1 Malaysia memeriahkan acara kemuncak.
- Ketua Menteri ucap terima kasih kepada rakyat Melaka atas sokongan dan penyertaan.
- Program seperti CIMIC, Malam Melaka Berselawat dan Ambang Merdeka menguatkan semangat patriotik dan perpaduan.
Beliau berkata jumlah itu membuktikan sambutan HKM 2026 mendapat sambutan luar biasa daripada rakyat Melaka, sekali gus mencerminkan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat di negeri itu.
Katanya, bagi acara kemuncak sambutan pada hari ini, lebih 75,000 pengunjung hadir memeriahkan Sambutan HKM 2026 di Dataran 1 Malaysia, disini.
“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua rakyat Melaka yang telah menjayakan Hari Kebangsaan Malaysia peringkat negeri Melaka, yang bermula dengan Malam Melaka Berselawat, malam tadi Ambang Merdeka dan hari ini hari kemuncaknya.
“Ribuan rakyat Melaka datang bersama-sama menjayakan sambutan ini. Terima kasih Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Malaysia (HKM) 2026 peringkat negeri Melaka di Dataran 1 Malaysia, Klebang, hari ini.
Antara program yang dianjurkan kerajaan negeri sempena HKM 2026 ialah Karnival Kerjasama Awam – Tentera (CIMIC) Melaka 2026, Malam Melaka Berselawat, Malam Ambang Merdeka 2026 serta Sambutan HKM 2026.
Ujar beliau, sambutan berkenaan bukan sahaja menjadi platform meraikan Hari Kebangsaan, malah turut mengeratkan hubungan dan menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Melaka.