
KUCHING, 31 Ogos – Kawasan dengan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) mencecah 500 akan diisytiharkan darurat oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
- Pengisytiharan darurat hanya melibatkan lokaliti terjejas, bukan seluruh Sarawak.
- Jika darurat dikuatkuasakan, semua pejabat dan sektor awam serta swasta ditutup kecuali perkhidmatan penting.
- Jerebu rentas sempadan perlu ditangani secara serantau melalui saluran kerajaan dan diplomatik, termasuk penglibatan ASEAN.
- Operasi pembenihan awan dijangka 3 hingga 5 Sept untuk kurangkan jerebu serta menambah sumber air empangan dan bekalan.
Perkara tersebut dimaklumkan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Bagaimanapun pengisytiharan itu hanya melibatkan lokaliti terjejas dan bukan seluruh Sarawak.
“Jika kawasan mencapai paras IPU 500, keadaan itu akan dirujuk kepada NADMA di Kuala Lumpur (peringkat Persekutuan) untuk tindakan selanjutnya mengikut prosedur pengurusan bencana.
“Sekiranya darurat dikuatkuasakan, semua pejabat serta sektor awam dan swasta di kawasan terbabit akan ditutup, dan hanya perkhidmatan penting dibenarkan beroperasi,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak di sini.
Uggah yang juga Pengerusi JPBN Sarawak berkata, isu jerebu rentas sempadan ialah isu serantau yang memerlukan penglibatan kerajaan negara-negara terlibat melalui saluran serantau dan diplomatik yang ditetapkan.
“Dalam hal ini, JPBN telah menghubungi Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, yang merupakan Timbalan Pengerusi jawatankuasa berkenaan, bagi membangkitkan situasi semasa dan memudah cara penglibatan dengan Indonesia melalui saluran ASEAN yang ditetapkan.
“JPBN akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan kebimbangan Sarawak disampaikan melalui saluran nasional dan ASEAN yang sewajarnya. Sebarang cadangan untuk membantu negara jiran juga akan dipertimbangkan dan diselaraskan oleh Kerajaan Persekutuan melalui saluran kerajaan serta diplomatik yang betul,” katanya.
Mengenai operasi pembenihan awan, Uggah berkata inisiatif itu dijangka dilaksanakan dari 3 hingga 5 Sept seperti yang dijadualkan sebelum ini, tertakluk kepada keadaan cuaca ketika itu.
“Operasi berkenaan bukan semata-mata bertujuan mengurangkan jerebu, tetapi turut membantu menambah sumber air, termasuk empangan dan sumber bekalan air susulan tempoh kering berpanjangan ketika ini,” katanya.
Beliau berkata empat kawasan simpanan air yang kini mengalami pengurangan ialah Simunjan, Lingga, Spaoh dan Lijok. – BERNAMA