
PUTRAJAYA, 21 April – Manfaatkan kemudahan Buy Now Pay Later (BNPL) secara berhemah bagi mengelak daripada terbeban hutang berlebihan.
- Gunakan BNPL secara berhemah; utamakan pembelian bernilai tinggi dan penting berbanding keperluan asas harian.
- Elakkan menggunakan BNPL untuk barang asas kerana boleh menjejaskan kedudukan kewangan individu.
- Kerajaan akan memantau penggunaan BNPL bagi mengelak kitaran hutang yang menjejaskan kestabilan kewangan dan perkembangan perniagaan.
Itu ingatan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil kepada orang ramai agar berpada-pada dan menggunakan menggunakan kemudahan itu dengan mengutamakan pembelian barangan bernilai tinggi dan penting, berbanding keperluan asas harian.
“Trend penggunaan BNPL bagi barangan asas adalah membimbangkan dan boleh memberi kesan negatif terhadap kedudukan kewangan individu.
“Justeru itu, kerajaan akan terus memantau perkembangan penggunaan kemudahan tersebut bagi memastikan pengguna tidak terjebak dalam kitaran hutang yang boleh menjejaskan kestabilan kewangan serta keupayaan mengembangkan perniagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Usahawan NADI @ Shopee di sini, hari ini.
Turut hadir, Anggota Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Jeneral (B) Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, Ketua Pejabat NADI MCMC, Dr Mohd Arif Adenan serta Ketua Hal Ehwal Luar Shopee Malaysia, Nik Emir Nik Din.
Lebih 100 usahawan dari pelbagai negeri termasuk Sabah, Melaka dan Perak menyertai program berkenaan yang turut menjadi platform perkongsian pengalaman dalam memanfaatkan teknologi digital.
Awal bulan ini, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja melaporkan hasil penyelidikan bertajuk Enduring Today, Shaping Tomorrow: Akaun Fleksibel sebagai Talian Hayat Kewangan untuk Kesejahteraan mendapati 93 peratus pencarum menggunakan simpanan yang dikeluarkan bagi menampung keperluan asas harian.
Kajian sama turut menunjukkan 81.7 peratus pencarum menggunakan simpanan tersebut bagi menampung perbelanjaan berkaitan kecemasan.