
PUTRAJAYA, 21 April – Pindaan Akta Perkhidmatan Pos 2012 (Akta 741) dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat hujung tahun ini.
- Draf pindaan Akta sedang disediakan dan akan dibawa ke Jemaah Menteri untuk pertimbangan.
- Pindaan mengambil kira perubahan landskap industri, termasuk memperluas takrif Kewajipan Perkhidmatan Sejagat terutamanya penghantaran barangan.
- Kementerian mengalu-alukan penglibatan pemain industri seperti syarikat e-dagang dan perkhidmatan kurier memberi pandangan.
- Matlamat pindaan memastikan ekosistem perkhidmatan pos lebih lestari, mampan, berdaya saing dan kebajikan pekerja terpelihara.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata ketika ini ia dalam penyediaan draf pindaan sebelum dibawa ke Jemaah Menteri dalam masa terdekat.
Menurut beliau, pindaan itu akan mengambil kira perubahan landskap industri termasuk keperluan menambah baik takrif Kewajipan Perkhidmatan Sejagat (USO), khususnya melibatkan penghantaran barangan dan bungkusan dalam ekosistem digital masa kini.
Datuk Fahmi turut mengalu-alukan penglibatan pemain industri termasuk syarikat e-dagang dan perkhidmatan kurier untuk memberikan pandangan bagi menambah baik akta berkenaan.
“Ketika ini, terdapat pelbagai penyedia perkhidmatan kurier dan perubahan corak penghantaran, justeru akta ini perlu dikemas kini agar lebih relevan dengan situasi semasa.
“Draf pindaan telah disediakan dan akan dibawa ke Jemaah Menteri dalam masa terdekat. Saya juga mengalu-alukan penglibatan pemain industri, termasuk rakan strategik seperti Shopee serta syarikat kurier, untuk memahami cadangan ini dan mengemukakan pandangan bagi menambah baik akta tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Usahawan NADI @ Shopee di sini hari ini.
Pada Oktober tahun lalu, Kementerian Komunikasi dilaporkan dalam proses meminda Akta 741 bagi memastikan ekosistem perkhidmatan pos yang lebih lestari, mampan dan berdaya saing, selain memastikan kebajikan pekerja terpelihara.