KUALA LUMPUR, 2 Oktober - Pelakon, Nadzmi Adhwa yang juga suami kepada salah seorang aktivis Global Sumud Flotilla (GSF), Ardell Aryana merayu rakyat Malaysia bertenang dan tidak menyebarkan sebarang spekulasi berhubung situasi terkini misi kemanusiaan tersebut yang kini dipintas tentera rejim Zionis.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat yang diterima daripada Sumud Nusantara Command Centre (SNCC), setakat ini tiada sebarang insiden kekerasan, penyeksaan atau tembakan berlaku terhadap para aktivis yang terlibat.
"Saya terima maklumat terkini tiada sebarang penyeksaan yang berlaku, tiada tembak menembak jadi jangan keluarkan spekulasi atau berita tidak sahih yang boleh memprovokasi mereka," katanya ketika dihubungi RTM hari ini.
Nadzmi turut memaklumkan bahawa buat masa ini beliau masih gagal untuk menghubungi isterinya sejak siaran langsung kecemasan terakhir sekitar pukul 5.00 hingga 6.00 pagi tadi.
"Sekarang ini memang saya terputus hubungan dengan Ardell sejak siaran langsung terakhir SOS lepas Subuh tadi. Sampai sekarang saya tak dapat maklumat terkini lagi," jelasnya.
Namun begitu, beliau dimaklumkan bahawa maklumat dari pihak SNCC memberikan sedikit kelegaan kerana tiada sebarang insiden buruk dilaporkan.
Dalam kesempatan itu, beliau turut menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk terus mendoakan keselamatan semua aktivis kemanusiaan yang terlibat dalam misi GSF, terutamanya pasukan dari Malaysia.
BERITA BERKAITAN:
- GSF: Zizi Kirana sempat hantar mesej kepada suami
- JAKIM, JAWI diarah anjur Solat Hajat & Qunut Nazilah susulan sekatan misi GSF ke Gaza
- Johari kecam tindakan Israel pintas kapal GSF
- Malaysia desak pembebasan segera aktivis GSF - PM
- Malaysia desak pembebasan segera aktivis GSF - PM
- Semua stesen televisyen, radio digesa siar bacaan doa Qunut Nazilah - Fahmi