JOHOR BAHRU, 23 Mei - Rakyat Malaysia, khususnya golongan muda disaran agar merebut peluang daripada pertumbuhan pesat industri semikonduktor negara yang kini menarik perhatian syarikat gergasi antarabangsa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia kini sedang menempa nama sebagai hab semikonduktor utama di rantau Asia, hasil keyakinan pelabur luar terhadap kemampuan dan kestabilan negara.
"Malaysia kini muncul sebagai hab semikonduktor di rantau ini. Bukan sekadar di peringkat ‘back end’ atau tahap rendah, tetapi kita lihat syarikat-syarikat gergasi seperti Infineon di Kedah, Nvidia di Johor, dan terbaharu, Maistorage Phison di Cyberjaya sudah mula bertapak di Malaysia.
"Bayangkan, tiga pemain utama industri semikonduktor dunia memilih Malaysia sebagai lokasi strategik mereka. Anak-anak muda mesti ambil peluang ini sebaik mungkin. Manfaatkan perkembangan ini untuk membina masa depan yang lebih gemilang dan jadikan Malaysia sebuah negara yang hebat di rantau ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Madani Rakyat (PMR) Johor 2025, di sini.
Datuk Seri Anwar turut mengulangi gesaan untuk mempertingkat serta menggandakan keupayaan dan kemahiran belia dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
"Perkara ini tidak boleh kita pandang remeh atau ringan. Puluhan negara di seluruh dunia sedang berlumba-lumba memujuk syarikat-syarikat besar ini untuk melabur di tempat mereka. Malah, pihak pengurusan Phison Maistorage sendiri memaklumkan bahawa cip yang dihasilkan oleh syarikat mereka kini hanya boleh diterbitkan di empat negara sahaja, Amerika Syarikat, China, Taiwan dan satu lagi negara ialah Malaysia. Ini menunjukkan Malaysia kini berada dalam kelompok lima negara terhebat dalam mengendalikan teknologi berkenaan.
"Saudara-saudari, kejayaan ini tidak akan berlaku tanpa kesungguhan. Anak-anak kita yang sedang menuntut dalam bidang kejuruteraan, TVET dan lain-lain mesti mengambil peluang ini dengan penuh tekad untuk meningkatkan keupayaan negara. Inilah makna sebenar kemerdekaan rakyat, dan juga kemerdekaan negara, apabila kita mampu mengurus dan mempertahankan kepentingan negara dengan kekuatan sendiri," kata Datuk Seri Anwar.
Datuk Seri Anwar turut menyeru seluruh rakyat bersatu ke arah kestabilan negara, khususnya menjelang Kepengerusian ASEAN 2025.
"Untuk memastikan ekonomi negara kekal mantap dan diyakini, kita mesti bersatu. Jangan sekali-kali memberi ruang kepada unsur-unsur yang boleh memecah-belahkan kita. Perpecahan hanya akan melemahkan kekuatan seni, budaya, dan nadi negara Malaysia yang kita cintai. Bila negara ini stabil, ekonominya akan bangkit. Dan apabila ekonomi bangkit, ia bermakna kita sedang memperkasa seluruh ekosistem, ekonomi, sastera, budaya dan rakyat keseluruhannya.
"Kita telah mencatat pertumbuhan ekonomi yang membanggakan. Dua hari lagi, negara kita akan menjadi tuan rumah perhimpunan para pemimpin ASEAN. Buat pertama kalinya dalam sejarah, sidang ini turut disertai oleh pemimpin-pemimpin negara-negara Arab Teluk (GCC), dan akan disambut pula oleh Perdana Menteri atau Premier China, Li Qiang, satu pencapaian yang luar biasa.
"Inilah kali pertama ASEAN mengadakan sidang bersama pimpinan dari negara-negara Arab Teluk dan juga China. Mengapa ia berlaku? Kerana mereka melihat keupayaan kita. Mereka nampak semangat kerja kita. Mereka mengiktiraf kesungguhan kita dalam membangunkan negara," ujarnya.