
KUALA LUMPUR, 9 APRIL – Perkembangan gencatan senjata antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran dilihat belum mampu meredakan sepenuhnya ketegangan di Asia Barat, susulan serangan terbaharu Israel ke atas Lubnan yang kembali mencetuskan kebimbangan global.
- Gencatan memberi kelegaan sementara tetapi tidak menjamin kestabilan harga minyak dalam tempoh terdekat.
- Konflik menyebabkan kerosakan ketara kepada infrastruktur minyak, termasuk loji penapisan yang dilaporkan dibom.
- Pergerakan kapal terganggu melalui Selat Hormuz dan premium insurans perkapalan meningkat akibat risiko keselamatan yang tinggi.
- Malaysia guna rizab petroleum strategik dan galak amalan bekerja dari rumah untuk lindungi golongan berpendapatan rendah.
Pakar geopolitik, Profesor Dr Ravichandran Moorthy berkata, walaupun gencatan senjata ini memberi kelegaan sementara, situasi semasa tidak semestinya menjamin kestabilan harga minyak dalam tempoh terdekat.
“Keadaan ini berlaku susulan konflik berkenaan yang telah menyebabkan kerosakan ketara terhadap infrastruktur, khususnya kemudahan minyak termasuk loji penapisan yang dilaporkan dibom, terutamanya di beberapa negara Arab.
“Selain itu, konflik tersebut turut mengganggu rantaian logistik apabila pergerakan kapal menjadi lebih sukar untuk melalui Selat Hormuz.
“Situasi ini juga memberi kesan kepada sektor perkapalan, termasuk peningkatan premium insurans yang dikenakan oleh syarikat insurans berikutan risiko keselamatan yang semakin tinggi,” katanya ketika dihubungi RTM, hari ini.
Beliau berkata, Malaysia bagaimanapun dilihat telah mengambil langkah mitigasi jangka pendek bagi mengurangkan kesan kenaikan harga minyak terhadap rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah.
Antara langkah yang diambil termasuk penggunaan rizab petroleum strategik negara serta menggalakkan amalan bekerja dari rumah (BDR) bagi mengurangkan kebergantungan terhadap penggunaan bahan api.
Langkah tersebut juga bertujuan mengekang kesan rantaian seperti kenaikan harga barangan serta tekanan terhadap kos sara hidup rakyat.
Konflik tersebut sebelum ini dilihat merebak dengan melibatkan negara-negara jiran termasuk negara-negara Teluk (GCC), sekali gus menjejaskan aspek keselamatan dan ekonomi di rantau Asia Barat.