
SHAH ALAM, 19 Mei – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyeru orang ramai dan semua wakil rakyat supaya membaca, memahami dan menghayati prinsip Rukun Negara yang menjadi asas perpaduan rakyat di negara ini.
- Menyeru Ahli Yang Berhormat hadir dua kali sebulan ke Dataran Selangor dan menghayati makna Rukun Negara.
- Menegaskan setiap rakyat mesti menghormati kedaulatan institusi raja serta memelihara adab, kesopanan dan kesusilaan dalam masyarakat.
- Monumen Rukun Negara di Dataran Selangor mengingatkan pembentukan Rukun Negara hasil perundingan MAGERAN selepas tragedi rusuhan 13 Mei.
“Beta berharap orang ramai yang berkunjung ke Dataran Selangor khususnya generasi baharu dapat membaca dan menghayati prinsip-prinsip asas Rukun Negara ini yang menjadi teras utama kepada perpaduan rakyat Malaysia,” titah baginda.
“Beta juga menyeru kepada semua Ahli Yang Berhormat, wakil rakyat (ADUN) Negeri Selangor untuk datang sendiri ke Dataran Selangor ini setiap dua kali sebulan dan membaca serta memahami makna Rukun Negara yang tertera pada Plak Monumen ini,” titah baginda menerusi kenyataan disiarkan di Facebook Selangor Royal Office.
Titah baginda dalam kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah, setiap rakyat perlu menghormati kedaulatan institusi raja selain menjaga adab kesopanan dan kesusilaan dalam kehidupan bermasyarakat.
“Plak Monumen Rukun Negara yang dibina di Dataran Selangor bertujuan mengingatkan rakyat terhadap sejarah pembentukan Rukun Negara ekoran pengisytiharan darurat akibat tragedi rusuhan kaum pada 13 Mei 1969,” titah baginda lagi.
Baginda bertitah konsep Rukun Negara diwujudkan hasil perundingan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) sebagai manifestasi ideologi kebangsaan bagi memperkukuh perpaduan antara kaum di negara ini.
Monumen berkenaan dibina di hadapan Tiang Bendera Negeri Selangor lengkap dengan kemudahan tempat duduk untuk pengunjung itu dibiayai sepenuhnya oleh baginda sendiri.