KUALA LUMPUR, 2 Mei - Radio Televisyen Malaysia (RTM) disaran memanfaatkan era digital untuk menjana pendapatan khususnya melalui platform RTMKlik.
Memuji peningkatan prestasi penyiaran RTM mutakhir ini, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berharap seluruh warga kerjanya dapat meneruskan transformasi yang dilakukan dari semasa ke semasa, seiring perkembangan teknologi digital arus perdana.
"Saya lihat di bawah tampuk kepimpinan Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman banyak perubahan positif yang berlaku dan saya lihat kesungguhan dan daya kreativiti yang beliau bawa sekali dengan pasukan pengurusan, mampu menterjemah dan membawa perubahan yang positif kepada bukan hanya cara kita menyiarkan berita tapi harapan saya juga nanti mungkin cara kita boleh meraih keuntungan untuk Jabatan Penyiaran.
"Salah satu perkara yang ditegaskan oleh Perdana Menteri, ialah kita perlu lihat bagaimana RTM itu sendiri boleh mendapat lebih keuntungan dan salah satu caranya kita nampak memang sekarang ini era digital," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri majlis sambutan RTM 78 Raya Setulus Hati di Angkasapuri Kota Media, di sini.
Dalam perkembangan lain, penonton dan pendengar radio RTM menerusi RTMKlik kini mencecah sembilan juta, Januari lalu iaitu pencapaian tertinggi platform itu dengan jumlah yang memuat turun RTMKlik pula mencapai angka 5.2 juta.
Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman berkata Radio Klasik mendahului senarai tertinggi dengan 1.6 juta pendengar.
Lebih membanggakan, Suhaimi berkata pendengar dan penonton Jelajah Ramadan RTM 2024 mencatat 14 juta tontonan secara langsung menerusi media sosial semua stesen radio RTM, sepanjang dua minggu program berlangsung.
Begitu juga prestasi program berita yang mencapai angka tontonan lebih tinggi.
"Berita Wilayah dengan satu juta tontonan, begitu juga Kanta, Berita Perdana dan juga Malaysia Tonight, kalau dahulu, susah hendak dapat 200,000 tontonan, sekarang kita ada hampir satu juta tontonan setiap malam dan ini satu perkembangan yang baik," katanya.