
SEREMBAN, 18 April – Enam individu termasuk pasangan suami isteri ditahan selepas disyaki terlibat dengan kegiatan pecah masuk tapak pencawang telekomunikasi di Nilai Spring, Bandar Baru Nilai.
- Suspek berusia 30 hingga 40-an ditahan di beberapa lokasi selepas polis menerima maklumat pada 7.17 malam
- Pintu pelindung RRU dipecah masuk dan beberapa peralatan telekomunikasi dilaporkan hilang
- Polis merampas peralatan termasuk Huawei RRU, Quad Band Combiner, pelbagai alat serta kenderaan yang digunakan suspek
- Siasatan awal mendapati kegiatan terancang untuk mencabut komponen dan menjualnya di pasaran besi buruk; banyak suspek mempunyai rekod jenayah
Ketua Polis Daerah Nilai Supt Johari Yahya berkata kesemua suspek berusia antara 30 hingga 40-an itu ditahan di beberapa lokasi termasuk tempat kejadian dan rumah selepas polis menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 7.17 malam.
“Pemeriksaan di lokasi mendapati pintu pelindung Remote Radio Unit (RRU) milik syarikat telekomunikasi terbuka akibat dipecah masuk dan beberapa peralatan didapati hilang dipercayai dicuri.
“Polis turut merampas beberapa unit peralatan telekomunikasi termasuk Huawei RRU, Quad Band Combiner serta pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah selain kenderaan digunakan suspek,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Johari berkata siasatan awal mendapati kumpulan itu bertindak secara terancang dengan memecah masuk pencawang telekomunikasi dan mencabut komponen peralatan sebelum dijual di pasaran besi buruk.
Beliau berkata semakan rekod lampau mendapati sebahagian besar suspek mempunyai rekod jenayah termasuk curi, samun serta kesalahan bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
Kesemua suspek dibawa ke Mahkamah Seremban hari ini bagi permohonan reman dan kes disiasat bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
“Polis tidak menolak kemungkinan kumpulan tersebut turut terlibat dalam beberapa kes kecurian lain di sekitar Nilai dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Nilai di talian 06-7904222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. -BERNAMA