El Nino: JBPM tingkat kesiapsiagaan hadapi gelombang haba, kebakaran hutan

 Datuk Seri Nor Hisham Mohammad/ RTM

CYBERJAYA, 30 Mei- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) meningkatkan tahap kesiapsiagaan susulan jangkaan cuaca lebih kering berikutan fenomena El Nino termasuk risiko gelombang haba dan kebakaran hutan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Persediaan JBPM dilaksanakan menyeluruh melibatkan aset, logistik dan koordinasi operasi di semua peringkat.
  • Penambahan aset termasuk 70 kenderaan CFRT dan 80 pam mudah alih bagi operasi kebakaran hutan.
  • Kerjasama diperkuat bersama NADMA, PDRM, JAS dan Jabatan Perhutanan untuk rondaan dan langkah pencegahan kebakaran terbuka.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata persediaan dilaksanakan secara menyeluruh melibatkan aspek aset, logistik dan koordinasi operasi di semua peringkat.

“Kita menjangkakan cuaca sedikit lebih kering berbanding tahun lalu, justeru persediaan tahun ini dilaksanakan dengan lebih teliti dan rapi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Qurban Kasih Bersama Warga Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), JBPM dan Parlimen Sepang di Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya, di sini, hari ini.

Menurut beliau, antara kesiapsiagaan yang dilaksanakan termasuk penambahan aset seperti 70 kenderaan Compact Fire Rescue Tender (CFRT) dan 80 pam mudah alih bagi menghadapi operasi kebakaran hutan.

“Kita juga melihat keadaan masih terkawal walaupun terdapat beberapa hari panas kerana hujan masih turun di beberapa kawasan,” katanya.

Dalam pada itu, JBPM turut memperkukuh kerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta agensi penguatkuasaan lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Perhutanan bagi meningkatkan rondaan dan langkah pencegahan kebakaran terbuka.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.