LABUAN, 4 Julai – Dua buah rumah kediaman musnah dalam satu kebakaran di Kampung Gersik, tengah hari tadi, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 11.25 pagi, sebelum pasukan dari Balai Bomba Labuan Sentral bersama jentera digerakkan ke lokasi.
“Kebakaran dipercayai bermula dari sebuah rumah separuh kekal sebelum api merebak dan memusnahkan sebuah lagi rumah berhampiran.
"Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian berkenaan dan punca kebakaran masih dalam siasatan pihak forensik bomba," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Turut membantu dalam operasi ini ialah anggota dari BBP Rancha-Rancha, BBP Layang-Layangan, Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Gersik, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat serta Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).
Tambahnya, operasi pemadaman ditamatkan pada pukul 2.17 petang.