fb fb fb fb fb

Diplomat Kanan Singapura sifatkan Anwar "berilmu, berbudi pekerti, prihatin"

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim/Foto FB Anwar Ibrahim

SINGAPURA, 5 Disember- “Saya sentiasa mendapati beliau seorang yang berilmu, berbudi pekerti dan benar-benar prihatin akan kesejahteraan rakyat Malaysia,” kata Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia Vanu Gopala Menon.

Ia merupakan pandangan Menon hasil interaksinya dengan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim yang Kerajaan Madani pimpinannya akan meraikan ulang tahun pertama pada hujung minggu ini.

Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 pada 24 Nov, 2022.

Menon yang menyandang jawatan sebagai Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia sejak 10 Nov, 2014 berkata Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dan Anwar telah mengenali satu sama lain sejak beberapa dekad lepas.

"Perdana Menteri Lee adalah antara pemimpin pertama yang mengucapkan tahniah kepada Anwar apabila beliau mengangkat sumpah sebagai perdana menteri," kata diplomat kanan itu.

Beliau berkata, Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong semasa lawatan ke Malaysia pada September 2022 telah bertemu dengan Anwar yang merupakan ketua pembangkang pada ketika itu.

Dengan hubungan yang rapat dan saling bergantung, pesuruhjaya tinggi itu berkata Singapura menyambut baik "Malaysia yang stabil dan berwawasan ke hadapan".

“Masing-masing merupakan rakan dagang kedua terbesar tahun lepas dan hubungan ekonomi kami terus berkembang. Singapura merupakan pelabur asing utama di Malaysia pada separuh pertama 2023,” katanya.

Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Anwar telah membantu membawa kestabilan politik dan menggorak langkah ke hadapan.

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dalam kemas kininya pada September berkata Singapura merupakan sumber utama pelaburan langsung asing langsung (FDI) dengan pelaburan diluluskan berjumlah RM13.7 bilion pada separuh pertama 2023.

“Saya percaya terdapat banyak yang boleh kita capai jika kita bekerjasama untuk memajukan bidang kerjasama bersama,” kata Menon sambil merujuk Sesi Permukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura Ke-10 yang diadakan pada 30 Okt, 2023, sebagai contoh yang baik.

“Ia adalah pemukiman pertama sejak pandemik COVID-19 dan kedua-dua perdana menteri dapat membincangkan beberapa bidang kerjasama menggalakkan seperti Zon Ekonomi Khas (SEZ) Johor - Singapura dan Sistem Transit Rapid Johor Bahru-Singapura serta meneroka kerjasama berorientasikan masa depan, termasuk dengan memanfaatkan Memorandum Persefahaman mengenai ekonomi digital dan hijau yang ditandatangani pada Januari tahun ini.

“Kedua-dua perdana menteri juga mengadakan perbincangan yang baik mengenai isu-isu dua hala yang tertangguh. Saya berharap kedua-dua pihak dapat mencapai kemajuan pada tahun hadapan.

“Saya doakan yang terbaik kepada Datuk Seri Anwar dan kerajaan Madani,” kata Menon.

Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar berkata kerajaan Singapura sentiasa memberikan perhatian kepada perkembangan yang berlaku di Malaysia.

Senada dengan Menon, Azfar berkata fokus pada masa ini adalah meningkatkan kegiatan ekonomi dan perdagangan di antara kedua-dua negara dan antara projek yang sedang diusahakan adalah mewujudkan SEZ.

Idea mewujudkan SEZ dicetuskan di bawah pentadbiran Anwar.

“Selain daripada itu, potensi Malaysia di dalam tenaga boleh diperbaharui termasuklah tenaga hidro dari Sarawak juga sedang diteliti oleh pemain Industri di Singapura,” katanya.

Ditanya apakah pandangan Kerajaan Singapura tentang Anwar dan kepimpinannya di dalam dan luar negara, Azfar berkata secara umumnya, mereka sedar bahawa perdana menteri itu mempunyai pengaruh di dalam dan di luar negara.- BERNAMA

ROSLINA BINTI DIN