
KUALA LUMPUR, 14 Julai – Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlindungan Saksi (Pindaan) 2026 yang bertujuan memperkukuh pelaksanaan Program Perlindungan Saksi, termasuk memperluas akses kemasukan ke dalam program berkenaan.
- Subseksyen 7(3) Akta 696 membenarkan ibu atau bapa memohon kemasukan bagi saksi yang tidak mempunyai keupayaan undang-undang.
- Seksyen 13(2) Akta 696 memasukkan bantuan psikologi termasuk kaunseling sebagai bentuk bantuan kepada peserta program.
- Program terbukti meningkatkan keberkesanan sistem keadilan, melindungi identiti saksi dan menggalakkan keterangan tanpa ancaman; wakil semua blok sokong penambahbaikan kebajikan.
RUU itu diluluskan dengan suara majoriti selepas dibahaskan oleh 13 Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang.
Antara pindaan utama ialah subseksyen 7(3) Akta Perlindungan Saksi 2009 (Akta 696) yang membolehkan permohonan kemasukan ke program dibuat oleh ibu atau bapa bagi pihak saksi yang tidak mempunyai keupayaan di sisi undang-undang.
Pindaan turut melibatkan Seksyen 13(2) Akta 696 dengan memasukkan bantuan psikologi, termasuk kaunseling, sebagai sebahagian daripada bentuk bantuan yang boleh diberikan kepada peserta Program Perlindungan Saksi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, ketika membentangkan RUU itu bagi bacaan kali kedua berkata, pengalaman pelaksanaan program tersebut sejak diperkenalkan menunjukkan terdapat beberapa aspek yang perlu diperkukuh supaya kekal relevan dengan cabaran semasa.
Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran berkata, Program Perlindungan Saksi terbukti membantu meningkatkan keberkesanan sistem keadilan jenayah, termasuk menyokong proses pendakwaan dalam pelbagai kes berprofil tinggi.
Menurut beliau, perlindungan terhadap identiti dan keselamatan saksi memberi keyakinan kepada mereka untuk tampil memberikan keterangan tanpa berdepan ancaman, ugutan atau intimidasi.
“Keadaan ini membantu memastikan kelancaran prosedur, mengurangkan risiko saksi menarik diri atau enggan memberikan keterangan serta menyumbang kepada keberkesanan keseluruhan proses pendakwaan,” katanya ketika menggulung perbahasan.
Dalam sesi perbahasan, Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang secara keseluruhannya menyokong usaha memperkukuh keselamatan saksi serta pemberi maklumat, di samping mengemukakan beberapa cadangan penambahbaikan terhadap aspek kebajikan dan ketelusan program.