
KUALA LUMPUR, 14 Julai – Bacaan kali kedua Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2026 berkait pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya ditangguhkan ke mesyuarat Dewan Rakyat akan datang.
- Kerajaan akan memaklumkan cadangan pindaan kepada Majlis Raja-Raja.
- Langkah itu mencerminkan penghormatan terhadap institusi Raja Berperlembagaan.
- Proses reformasi perlembagaan perlu dilaksanakan secara tertib, berhemah dan selaras dengan amalan perlembagaan negara.
- Permohonan dibuat mengikut Peraturan Mesyuarat 62 selepas pembentangan Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas Kertas DR 11 Tahun 2026.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata keputusan itu bagi memberi ruang kepada kerajaan mempersembahkan makluman mengenai cadangan pindaan itu kepada Majlis Raja-Raja.
“Langkah itu mencerminkan penghormatan terhadap institusi Raja Berperlembagaan, selain memastikan proses reformasi perlembagaan dilaksanakan secara tertib, berhemah dan selaras dengan amalan perlembagaan negara,” katanya di Dewan Rakyat.
Datuk Seri Azalina memohon penangguhan tersebut mengikut Peraturan Mesyuarat 62, Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat selepas membentangkan Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas (Kertas DR 11 Tahun 2026) hari ini.
Beliau berkata keputusan penangguhan itu turut mengambil kira pelbagai pandangan daripada Ahli Parlimen serta pihak berkepentingan sejak RUU berkenaan dibentangkan.