Deepavali perkukuh hubungan bermasyarakat

(Chandrahasan Samynathan menerima kunjungan tetamu di Taman RPA Arau)

ARAU, 24 Oktober- Sambutan Deepavali yang diraikan hari ini turut diperkukuhkan dengan amalan ziarah menziarahi antara satu sama lain.

Bagi penduduk di Taman Rancangan Perumahan Awam (RPA) Arau dan Taman Seri Intan, seperti perayaan lain juga, amalan kunjung mengunjung tetap menjadi tradisi
masyarakat setempat setiap kali sambutan bagi sesuatu perayaan.

Tambahan pula hidup bermasyarakat dan berbilang kaum dan agama ia merupakan satu peluang untuk mengeratkan perpaduan.

Tetamu yang hadir dihidangkan makanan seperti tosai, capati, nasi, kari dan dal yang sentiasa menjadi pilihan masyarakat.

(Chandrahasan Samynathan ketika ditemui pemberita)

Salah seorang yang menyambut Deepavali ialah Chandrahasan Samynathan, sejak awal pagi rumahnya tidak putus-putus menerima kehadiran tetamu dalam kalangan jiran dan rakan-rakan sekerja.

“Memang meriah perayaan Deepavali kali ini sebab sebelum ni terbatas berikutan COVID-19. Jadi tahun ini saya terima semua kunjungan tetamu.

“Semua kaum hadir, Melayu, Ciina dan India. Sama-sama meriakan Deepavali.”

Dia ditemui media ketika sambutan rumah terbuka sempena Deepavali di Taman RPA Arau yang turut diserikan dengan kehadiran Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan DUN Pauh, Rozieana Ahmad petang tadi.