
BUTTERWORTH, 20 Jun – Selepas lebih tiga dekad mewarnai dunia penyiaran dan kewartawanan, Datuk Suhaimi Sulaiman hari ini menerima penghormatan tertinggi dalam kerjayanya apabila menerima Anugerah Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026, sekali gus mengiktiraf sumbangan besar beliau dalam membentuk landskap media Malaysia.
- Anugerah disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim; disaksikan Ketua Menteri Pulau Pinang, Menteri Komunikasi dan Pengerusi Bernama di PICCA Butterworth.
- Majlis Kemuncak HAWANA 2026 berlangsung di Pusat Konvensyen PICCA @ Arena Butterworth.
- Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida dan Ketua Pengarang Arul Rajoo.
- Suhaimi anggap pengiktirafan sebagai amanah; tekankan kepentingan terus belajar dan berkongsi ilmu terutama dalam era kecerdasan buatan.
Bekas Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia itu menerima anugerah tersebut daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan disaksikan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil serta Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai pada Majlis Kemuncak HAWANA 2026 di Pusat Konvensyen PICCA @ Arena Butterworth hari ini.
Hadir sama pada majlis itu Ketua Pegawai Eksekutif Bernama merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja HAWANA 2026 Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.
Datuk Suhaimi berkata pengiktirafan itu bukan sekadar satu penghormatan, sebaliknya amanah besar yang mendorong beliau untuk terus menimba ilmu dan berkongsi pengalaman, terutamanya dalam era kecerdasan buatan (AI) yang mencorakkan semula penghasilan dan penyampaian maklumat.
“Pengiktirafan ini sangat besar untuk seorang yang masih dalam proses pembelajaran. Sebagai orang media, kita sentiasa belajar perkara baharu dan saya sendiri belum habis belajar terutama dalam era AI yang menuntut kita mempelajari pelbagai ilmu baharu,” katanya kepada Bernama di sini hari ini. -BERNAMA