
KUALA LUMPUR, 20 Mei – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil meluahkan rasa kesal terhadap insiden kekasaran yang didakwa berlaku terhadap petugas media semasa Konvensyen Pakatan Harapan (PH) 2026 pada Ahad lalu.
- Beliau minta sekretariat meneliti aduan, kenal pasti isu dan pihak terlibat sebelum tindakan lanjut diambil.
- Wartawan mesti diberi ruang sewajarnya untuk menjalankan tugas walaupun Fahmi faham kekangan ruang fizikal dan kehadiran ramai.
- Penganjur akan menambah baik pengurusan dan keperluan media bagi memastikan kelancaran liputan dalam ruang terhad.
Menurut beliau, wartawan perlu diberikan ruang sewajarnya untuk menjalankan tugas dalam mana-mana acara termasuk faktor keselamatan
“Jadi saya sudah minta pihak sekretariat supaya meneliti aduan yang dibuat dan cuba mengenal pasti apa isu sebenar serta siapa yang mungkin terlibat, sebelum tindakan lanjut diambil selepas ini.
“Bagi saya, dalam apa juga acara, wartawan perlu diberi ruang sepenuhnya. Pada masa sama, saya juga memahami ada keadaan tertentu, terutama apabila ruang fizikal agak terhad atau jumlah kehadiran terlalu ramai,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media mingguan pasca Mesyuarat Jemaah Menteri di Angkasapuri Kota Media di sini hari ini.
Dalam pada itu, Datuk Fahmi memaklumkan pihak penganjur akan menambah baik aspek pengurusan serta keperluan media, khususnya bagi memastikan kelancaran liputan dalam keadaan ruang yang terhad dan kehadiran tetamu yang ramai pada sesuatu program.