
KUALA LUMPUR, 14 April – Fenomena cuaca panas dan kering yang melanda negara ketika ini dijangka berlarutan sehingga Jun depan berikutan fasa peralihan musim monsun yang sedang dialami negara.
- Kementerian memantau rapi gelombang haba dan suhu tinggi yang dilaporkan di beberapa kawasan.
- Operasi Pembenihan Awan fasa pertama dilaksanakan di Kedah, Perlis, Perak, Melaka dan Johor.
- Hujan dicatat selepas operasi itu, namun paras air empangan masih belum mencapai tahap sasaran.
- Kementerian bimbang risiko jerebu merentas sempadan dan akan bekerjasama negara jiran serta mengeluarkan amaran dan garis panduan.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata kementeriannya sedang memantau rapi situasi tersebut memandangkan beberapa kawasan telah mula mencatatkan gelombang haba dengan suhu tinggi.
“Kita menjangkakan akan menghadapi bulan-bulan yang sangat kering pada April dan Mei, dan berkemungkinan sehingga Jun. Setakat ini, kita memantau rapi keadaan di mana suhu dilaporkan telah mencecah sekitar 37.5 darjah Celsius,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pra-Pelancaran International Sustainability Week 2026 (ISW 2026) di sini, hari ini.
Mengulas mengenai langkah mitigasi, Datuk Seri Arthur menjelaskan fasa pertama Operasi Pembenihan Awan (OPA) telah pun dilaksanakan sejak minggu lalu melibatkan negeri Kedah, Perlis, Perak, Melaka dan Johor.
Meskipun operasi tersebut menunjukkan keberkesanan dengan kehadiran hujan, namun paras air di empangan-empangan utama masih belum mencapai tahap sasaran yang dikehendaki.
“Kita melihat ada kejayaan iaitu hujan telah turun, namun paras air di empangan belum mencapai sasaran yang kita mahukan.
“Justeru, kita menerima permintaan untuk melakukan semula OPA fasa kedua pada minggu hadapan, khususnya memberikan tumpuan sekali lagi kepada negeri Johor dan Melaka,” jelas beliau.
Dalam pada itu, beliau turut menlahirkan kebimbangan terhadap risiko berlakunya jerebu merentas sempadan (transboundary haze) ekoran keadaan cuaca yang terlalu kering.
Sebagai langkah persediaan, kementerian akan terus memantau situasi berkenaan serta melibatkan kerjasama dengan negara-negara jiran bagi tujuan mitigasi.
“Kami akan terus mengeluarkan amaran dan garis panduan dari semasa ke semasa bagi memastikan langkah pencegahan dapat diambil oleh semua pihak,” katanya lagi.