
KUALA LUMPUR, 14 April – Kerajaan sedang meneliti semula garis masa pelaksanaan cukai karbon di negara ini susulan situasi geopolitik global semasa yang memberi tekanan kos kepada sektor industri.
- Semakan tidak akan menjejaskan pembentangan RUU Perubahan Iklim dijadualkan ke Parlimen pada Jun atau Julai.
- Kerangka perundangan kekal keutamaan untuk menyediakan asas kukuh mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050.
- Kerajaan peruntuk RM419 juta Belanjawan 2024 untuk inisiatif hijau; pemain industri digesa manfaatkan insentif cukai dan teknologi hijau.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata meskipun kerajaan pada asalnya menyasarkan pelaksanaan cukai tersebut pada tahun ini, faktor sensitiviti industri terhadap kenaikan kos tenaga dan bahan api perlu diambil kira.
“Kita mungkin perlu menyemak semula sasaran tersebut. Walaupun ada rancangan untuk melaksanakan cukai karbon tahun ini, kita faham industri kini sangat sensitif terhadap sebarang implikasi kos susulan peningkatan harga tenaga, petrol dan diesel.
“Kerajaan akan sentiasa bersifat pro-industri dan pro-ekonomi dalam mendepani cabaran ini,” katanya kepada media selepas majlis Pra-Pelancaran Minggu Kelestarian Antarabangsa (ISW) di sini, hari ini.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa semakan semula itu tidak akan menjejaskan perancangan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Perubahan Iklim yang dijadualkan dibawa ke Parlimen pada Jun atau Julai ini.
Menurut beliau, kewujudan kerangka perundangan tersebut tetap menjadi keutamaan bagi memastikan Malaysia mempunyai asas yang kukuh untuk mencapai sasaran pelepasan sifar bersih menjelang 2050.
“Saya percaya kerangka kerja ini mesti tetap diwujudkan kerana kita perlu bergerak ke arah itu (kelestarian). Situasi geopolitik sekarang bukan alasan untuk kita memperlahankan usaha kerana sumber fosil adalah terhad.
“Kita mungkin sedikit perlahan, tetapi matlamat akhirnya tetap ke arah tenaga boleh baharu dan persekitaran yang lebih hijau,” jelasnya.
Mengulas mengenai sokongan terhadap industri, beliau memaklumkan bahawa kerajaan telah memperuntuk sebanyak RM419 juta bawah Belanjawan 2024 untuk pelbagai inisiatif hijau.
Sehubungan itu, beliau menyeru pemain industri, termasuk sektor pembinaan, supaya memanfaatkan insentif cukai dan teknologi hijau yang ditawarkan sementara kerajaan masih menggunakan pendekatan galakan berbanding penguatkuasaan ketat.