MOT laksana inisiatif baharu galak guna pengangkutan awam

Menteri Pengangkutan Anthony Loke ketika Sidang Media Berhubung Kempen Penggunaan Rel Bagi Menangani Peningkatan Kos Bahan Api/ BERNAMA

PUTRAJAYA, 14 April – Kementerian Pengangkutan (MOT) melaksanakan beberapa inisiatif baharu melibatkan sektor rel dan udara bagi membantu rakyat menghadapi peningkatan kos sara hidup. Ia susulan kenaikan harga bahan api berikutan krisis Asia Barat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Diskaun 30% tiket ETS dan ERT untuk tempoh terpilih, tertakluk pembelian dalam dua minggu, untuk mengoptimumkan penggunaan tren hari bekerja.
  • ERL perkenal MyPutrajaya dan MyKLIA kad bulanan tanpa had perjalanan, diskaun sehingga 90 persen untuk penjawat awam dan kakitangan KLIA.
  • Pas My50 Lembah Klang dikekalkan pada RM50 dengan potongan 67 peratus; pilihan Rapid Kota dan Rapid Keluarga ditawarkan.
  • CAAM panjangkan tempoh kredit fi kepada 60 hari; rebat RM50 untuk penerbangan domestik semasa Gawai dan Kaamatan, dijangka bantu penumpang.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, langkah tersebut bertujuan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam khususnya rel, di samping meringankan beban kewangan rakyat.

Antara inisiatif utama ialah pemberian diskaun sebanyak 30 peratus bagi pembelian tiket Tren Elektrik (ETS) untuk semua sektor serta perkhidmatan Ekspres Rakyat Timuran (ERT) bagi laluan JB Sentral – Tumpat – JB Sentral.

Beliau berkata, diskaun bersasar itu diperkenalkan bagi mengoptimumkan penggunaan tren pada hari bekerja.

“Warganegara kita boleh membeli tiket ETS ke mana-mana sektor untuk enam bulan akan datang tetapi tempoh pembelian ini dalam tempoh dua minggu… boleh pilih mana-mana hari Isnin hingga Khamis yang bukan cuti umum dan cuti sekolah, maka dapat diskaun 30 peratus.

“Mengapa kita buat diskaun bersasar ini ialah kita nak menggalakkan optimum ETS ini kerana kapasiti pada waktu hari biasa biasanya hanya mencapai 65 peratus, satu pertiga daripada tren kita adalah kosong pada hari biasa,” katanya pada sidang media Kempen Penggunaan Rel bagi Menangani Peningkatan Kos Bahan Api di Kementerian Pengangkutan.

Dalam perkembangan sama, Express Rail Link (ERL) turut memperkenalkan dua kad perjalanan bulanan iaitu MyPutrajaya Monthly Travel Card dan MyKLIA Monthly Travel Card.

Kedua-dua kad ini menawarkan perjalanan tanpa had dengan diskaun sehingga 90 peratus berbanding kadar biasa, khusus kepada penjawat awam di Putrajaya serta komuniti pekerja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Kementerian turut memaklumkan pas perjalanan tanpa had My50 di Lembah Klang akan diteruskan pada harga RM50, iaitu diskaun 67 peratus daripada harga asal RM150.

Selain itu, pas lain seperti Rapid Kota dan Rapid Keluarga turut ditawarkan bagi memberi lebih pilihan kepada pengguna, termasuk perjalanan tanpa had untuk tempoh tertentu serta perjalanan berkumpulan pada hujung minggu.

Dalam sidang media yang sama, beliau memaklumkan sektor penerbangan turut terjejas apabila kira-kira 75 peratus jadual penerbangan ke rantau Asia Barat dibatalkan setakat 1 Mac lalu susulan krisis geopolitik.

Jika berlarutan, keadaan itu dijangka memberi kesan besar kepada ekonomi negara dengan potensi kerugian antara RM15 bilion hingga RM150 bilion sepanjang tahun ini.

Bagi mengurangkan tekanan, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan melanjutkan tempoh kredit bayaran fi dan caj sehingga 60 hari bermula 1 Mei 2026.

“Pemanjangan tempoh kredit bagi bayaran fi dan caj sehingga 60 hari, sekarang ini biasanya mereka diberikan tempoh kredit 30 hari, sekarang dipanjangkan satu kali ganda ke 60 hari berkuat kuasa 1 Mei 2026.

“Jadi ini akan membantu sedikit aliran tunai mereka untuk dua bulan dan ini memang dialu-alukan oleh syarikat penerbangan selepas kita mengadakan mesyuarat bersama mereka semalam,” katanya.

Selain itu, rebat tiket penerbangan sebanyak RM50 akan diberikan kepada warganegara Malaysia bagi laluan antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan sempena musim perayaan Gawai dan Kaamatan.

Beliau berkata, kempen jualan tiket akan dilaksanakan secara bersepadu oleh syarikat penerbangan domestik susulan pemberian rebat tersebut.

“Kempen diumumkan oleh syarikat-syarikat penerbangan kerana kita menawarkan rebat ini kepada semua syarikat penerbangan domestik termasuk Malaysia Airlines, AirAsia dan Batik Air.

“Syarikat-syarikat penerbangan kita dah berbincang dengan mereka semalam… mereka akan mengadakan kempen jualan tiket dengan rebat ini untuk tempoh 15 Mei hingga 14 Jun akan datang dan pengumuman akan dibuat oleh pihak syarikat penerbangan,” katanya.

Menurut beliau, rebat tersebut juga bertujuan mengimbangi caj tambahan bahan api yang dikenakan kepada penumpang.

“Rebat RM50 ini adalah membantu untuk ‘offset’ kadar surcaj mereka, jadi rebat ini adalah terus memanfaatkan penumpang, bukan syarikat penerbangan,” jelasnya.

Inisiatif itu dijangka memanfaatkan kira-kira 100,000 penumpang dengan peruntukan RM5 juta, melibatkan tempoh perjalanan dari 15 Mei hingga 14 Jun 2026.

Kementerian Pengangkutan menegaskan semua inisiatif ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan pengangkutan awam kekal mampu milik, cekap dan inklusif.

Orang ramai disaran merancang perjalanan lebih awal serta memanfaatkan kemudahan yang disediakan bagi mengurangkan kos perjalanan harian.