
KUALA LUMPUR, 7 Julai – Gabungan Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA) bersama Cinta Gaza Malaysia (CGM), AICT Global serta rangkaian peguam antarabangsa mengumpul dan menilai bahan bukti berkaitan dakwaan jenayah perang Israel terhadap penduduk awam di Lubnan.
- Dokumen sedang disediakan di bawah Perkara 15 Statut Rom untuk dikemukakan kepada Pendakwa ICC.
- Delegasi mengadakan perbincangan dengan peguam antarabangsa mengenai bidang kuasa, standard pembuktian dan perlindungan saksi.
- Kesaksian mangsa dan pelarian di kem Sabra, Shatila dan Burj al-Barajneh didokumentasikan dan disahkan untuk memenuhi standard prosiding antarabangsa.
Bahan bukti itu akan dikemukakan kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) sebagai usaha mendapatkan keadilan dan akauntabiliti melalui perundangan antarabangsa.
Menurut kenyataan CENTHRA, seramai tujuh peguam dan aktivis hak asasi manusia menyertai misi berkenaan yang mendapat sokongan strategik CGM dan AICT Global.
“Sepanjang berada di Beirut, delegasi mengadakan siri perbincangan bersama peguam dari Lubnan, Perancis, Sepanyol dan Indonesia bagi menyelaraskan strategi litigasi rentas negara.
“Ini termasuk berkaitan bidang kuasa, standard pembuktian, perlindungan saksi serta mekanisme kerjasama antarabangsa dalam membawa kes jenayah antarabangsa ke hadapan institusi kehakiman,” menurut kenyataan itu hari ini.
Delegasi turut menemui dan merekodkan keterangan mangsa serangan Israel, termasuk mereka yang kehilangan ahli keluarga, cedera, kehilangan tempat tinggal serta menjadi mangsa pemindahan paksa.
CENTHRA turut mendokumentasikan testimoni pelarian Palestin di kem Sabra, Shatila dan Burj al-Barajneh bagi menyokong prosiding undang-undang antarabangsa.
Katanya, semua bukti yang dikumpulkan kini diteliti dan disahkan bagi memenuhi standard pembuktian prosiding antarabangsa.
Berdasarkan penilaian awal, CENTHRA sedang menyediakan dokumen di bawah Perkara 15 Statut Rom untuk dikemukakan kepada Pejabat Pendakwa ICC melalui CGM.
Katanya, dokumen itu akan membantu Pendakwa ICC menentukan sama ada terdapat asas untuk memulakan siasatan proprio motu (atas inisiatif sendiri).
CENTHRA berkata pendekatan itu selaras dengan amalan Pejabat Pendakwa ICC dalam menilai fakta dan bukti yang dikemukakan.
“Kami menggesa kerajaan Malaysia memberikan sokongan diplomatik dan institusi terhadap usaha akauntabiliti antarabangsa.
“Ini termasuk memperkukuh kerjasama perundangan, pemeliharaan bukti serta inisiatif masyarakat sivil bagi memastikan pelaku jenayah perang dibawa ke muka pengadilan,” menurut CENTHRA.