DPMM sambut baik Program Pengakuan Sukarela e-Invois

Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon/Foto fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 7 Julai – Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) menyambut baik pelaksanaan Program Pengakuan Sukarela e-Invois sehingga 31 Disember 2027 yang disifatkan mampu membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menyesuaikan diri dengan pelaksanaan sistem percukaian digital.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tiada penalti dikenakan untuk semakan, pembetulan atau kemas kini e-Invois yang dikemukakan secara sukarela sepanjang tempoh program.
  • Tuntutan elaun modal dipercepat kepada satu tahun dan ambang pengecualian e-Invois dinaikkan daripada RM500,000 kepada RM1 juta setahun.
  • e-Invois penting bagi meningkatkan ketelusan, kecekapan dan integriti sistem percukaian negara.
  • DPMM akan memperkukuh advokasi, latihan dan program kesedaran untuk membantu usahawan melaksanakan e-Invois dengan lebih berkesan.

Presidennya, Norsyahrin Hamidon berkata, langkah itu membuktikan Kerajaan MADANI mengambil kira pandangan komuniti perniagaan dengan menyediakan tempoh penyesuaian tanpa tindakan penalti kepada pembayar cukai yang membuat semakan, pembetulan atau kemas kini e-Invois secara sukarela.

Menurut beliau, keputusan kerajaan mempercepatkan tuntutan elaun modal kepada tempoh satu tahun serta menaikkan ambang pengecualian e-Invois daripada RM500,000 kepada RM1 juta setahun turut membantu mengurangkan beban pematuhan, khususnya dalam kalangan usahawan kecil.

Beliau berkata, pelaksanaan e-Invois merupakan pembaharuan penting bagi meningkatkan ketelusan, kecekapan dan integriti sistem percukaian negara, namun kejayaannya bergantung kepada tahap kesiapsiagaan syarikat, terutama PMKS yang menjadi tulang belakang ekonomi negara.

Sehubungan itu, DPMM akan terus memperkukuh usaha advokasi, latihan dan program kesedaran bagi membantu usahawan memahami serta bersedia melaksanakan sistem e-Invois dengan lebih berkesan.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan memaklumkan di Parlimen bahawa Program Pengakuan Sukarela e-Invois akan dilaksanakan sehingga 31 Disember 2027 bagi membantu mengurangkan kos pematuhan perniagaan.

Menurut beliau, sebarang semakan, pembetulan atau kemas kini e-Invois yang dikemukakan secara sukarela sepanjang tempoh berkenaan tidak akan dikenakan penalti oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.