
CYBERJAYA, 17 April – Kerajaan akan meneliti cadangan untuk mengembalikan status bebas cukai kepada Langkawi bagi merancakkan semula ekonomi pulau itu.
- Kerajaan akan meneliti cadangan mengembalikan status bebas cukai Langkawi untuk merancakkan semula ekonomi pulau itu.
- Perdana Menteri meminta Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, menilai keseluruhan langkah penjanaan semula ekonomi kerana kos di Langkawi agak tinggi.
- Anwar menyatakan penghargaan kepada Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah atas cadangan berkenaan.
- Sultan Sallehuddin menggesa Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan pemulihan keistimewaan pulau bebas cukai seperti sebelum ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan tersebut wajar diberi perhatian susulan sektor pelancongan di Langkawi yang dilihat sedikit perlahan kebelakangan ini.
“Saya sudah meminta Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan melihat keseluruhannya bagaimana boleh dijana semula kerana kos di Langkawi agak tinggi,” kata beliau kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Bomba Cyberjaya, di sini hari ini.
Datuk Seri Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah atas cadangan berkenaan.
“Maknanya kita sedia teliti dan menjunjung kasih kepada Tuanku Sultan Kedah dan kita akan teliti,” katanya.
Terdahulu, Sultan Sallehuddin bertitah agar Kerajaan Persekutuan dapat mempertimbangkan untuk mengembalikan semula status Pulau Langkawi sebagai pulau bebas cukai dengan keistimewaan yang dinikmati sebelum ini.