
KUALA LUMPUR, 17 April – Kerancakan industri mikrofilem dilihat sebagai ruang strategik kepada Malaysia untuk mempromosikan destinasi pelancongan negara secara lebih pantas dan meluas ke peringkat antarabangsa, selaras dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
- Mikrofilem berperanan serampang dua mata: memperkukuh industri kreatif dan memperkenalkan lokasi serta budaya tempatan kepada penonton global.
- Kerjasama strategik dengan kumpulan produksi Hong Kong dan penterjemahan ke Mandarin meningkatkan penggambaran di Malaysia serta capaian pasaran China dan Hong Kong.
- Sokongan generasi muda Gen Z melalui aplikasi mudah alih mendorong pertambahan produksi mikrofilem berunsur elemen tempatan dalam penceritaan.
Timbalan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Lee Thai Hung berkata, mikrofilem berperanan sebagai serampang dua mata kerana bukan sahaja memperkukuh industri kreatif, tetapi turut memperkenalkan lokasi pelancongan serta budaya tempatan kepada penonton global.
Kemeriahan itu turut disokong generasi muda, khususnya Gen Z, yang lebih cenderung menikmati kandungan drama dan filem pendek melalui aplikasi telefon pintar.
“Kerjasama strategik bersama kumpulan produksi dari Hong Kong dijangka meningkatkan lagi penghasilan mikrofilem yang menjalani penggambaran di Malaysia, sekali gus memberi pendedahan lebih luas terhadap keunikan destinasi pelancongan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Ulang Tahun ke-5 Perkongsian Strategik Komprehensif China–ASEAN, Inisiatif Globalisasi Industri Kreatif dan Pertukaran Budaya Hong Kong serta pelancaran aplikasi ‘Wah Drama’ di ibu negara.
Tourism Malaysia terus menyokong usaha memperkasa kandungan kreatif tempatan dengan elemen budaya yang mudah diakses, selain memperluas potensi pasaran antarabangsa melalui penterjemahan mikrofilem ke dalam bahasa Mandarin bagi menembusi pasaran China dan Hong Kong.
“Langkah ini bukan sahaja memperkukuh hubungan industri kreatif serantau, malah turut meningkatkan persefahaman budaya antara negara,” katanya lagi.
Perancangan turut sedang digerakkan bagi memperbanyakkan lagi produksi mikrofilem di Malaysia dengan penekanan terhadap elemen tempatan sebagai daya tarikan utama dalam penceritaan.