BUDI MADANI Diesel dijangka turunkan kos operasi PMKS

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 30 Jun – Pelaksanaan BUDI MADANI Diesel bermula tengah malam ini (1 Julai) berpotensi menjadi pemangkin kepada penurunan kos operasi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), sekali gus membuka ruang kepada harga barangan dan perkhidmatan yang lebih kompetitif untuk pengguna.

RINGKASAN BERITA AI
  • Subsidi bersasar mampu mengurangkan ketirisan dan mencegah pihak tidak berhak menerima manfaat.
  • Mengurangkan kos operasi dan logistik bagi PMKS yang bergantung kepada penggunaan diesel.
  • Memberi insentif kepada peniaga untuk menurunkan harga, sekali gus meringankan kos sara hidup pengguna.
  • Perlu kaedah tambahan untuk subsidi bagi penggunaan diesel selain kenderaan, seperti penjana, bot dan jentera pertanian.

Pensyarah Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan, Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Prof. Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, mekanisme subsidi bersasar itu bukan sahaja mampu mengurangkan ketirisan, malah membantu menurunkan kos logistik perniagaan yang bergantung kepada penggunaan diesel.

“Diesel digunakan terutamanya oleh kenderaan-kenderaan perniagaan. Jadi peniaga-peniaga mikro, kecil dan sederhana akan serta-merta mengalami penurunan kos operasi dan logistik mereka.

“Ini boleh memberi insentif kepada mereka untuk menurunkan harga yang akan memberi kesan positif kepada semua pengguna. Kita boleh mengharapkan peniaga makanan, peniaga gerai dan pasar lebih bertimbang rasa menurunkan harga, sekali gus membantu mengurangkan kos sara hidup secara keseluruhan,” katanya kepada RTM.

Pada masa sama, beliau berkata pelaksanaan BUDI Diesel turut mempu mengurangkan ketirisan subsidi dengan memastikan hanya golongan yang layak menerima manfaat, selain mengekang penyalahgunaan oleh pihak yang tidak berhak termasuk bukan warganegara.

“Pelaksanaan BUDI Diesel ini, insya-Allah boleh mengurangkan ketirisan kerana ia mengelakkan kumpulan yang tidak berhak seperti bukan warganegara daripada menikmati subsidi.

“Pada masa sama, ia diharapkan dapat mengatasi masalah penyeludupan diesel ke luar negara,” katanya.

Bagaimanapun, Prof. Emeritus Dr Barjoyai berpandangan masih terdapat beberapa aspek yang memerlukan penelitian lanjut, khususnya melibatkan penggunaan diesel bagi tujuan selain kenderaan.

Beliau berkata, antaranya penggunaan diesel untuk penjana elektrik, bot nelayan serta jentera pertanian seperti jentolak yang digunakan di sawah padi.

“Ini memerlukan kaedah lain untuk memberikan subsidi supaya semua pihak yang benar-benar memerlukan turut dapat menikmati manfaatnya,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.