
KUALA LUMPUR, 30 Jun– Platform media sosial berlesen kini diwajibkan mengesahkan identiti pengiklan.
- Kewajipan pengesahan identiti pengiklan diperkenalkan melalui Kod Pengurangan Risiko yang dikuatkuasakan MCMC sejak 1 Jun.
- Proses pengesahan termasuk semakan identiti menerusi agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia.
- Langkah itu bertujuan membendung iklan penipuan serta kandungan dijana AI, termasuk penyalahgunaan imej dan video deepfake.
- Penyedia platform gagal patuh berdepan tindakan mahkamah denda sehingga RM1 juta dan penalti MCMC hingga RM10 juta.
Langkah itu bagi membendung penyebaran iklan penipuan serta kandungan yang dijana menggunakan kecerdasan buatan (AI), termasuk penyalahgunaan imej dan video deepfake.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, kewajipan itu diperkenalkan menerusi Kod Pengurangan Risiko (Risk Mitigation Code) yang dikuatkuasakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mulai 1 Jun lalu.
Menurut beliau, proses pengesahan termasuk semakan menerusi agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Langkah itu dilaksana bagi mengelakkan akaun palsu digunakan untuk menjalankan kegiatan penipuan.
“Masalah yang kita hadapi sekarang ialah akaun palsu diwujudkan tanpa sebarang pengesahan.
Mereka boleh menggunakan imej individu, termasuk Ahli Parlimen Muar dan Ahli Parlimen Bera, untuk menghasilkan kandungan bagi memperdaya pengguna di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, pada sesi Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata, platform digital tidak boleh lagi mengutamakan keuntungan sehingga mengabaikan keselamatan dan kebajikan pengguna.
Katanya, kegagalan mematuhi Kod Pengurangan Risiko boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan.
Penyedia platform juga berdepan tindakan mahkamah yang membawa denda sehingga RM1 juta.
Selain itu, MCMC boleh mengenakan penalti kewangan sehingga RM10 juta terhadap penyedia platform yang gagal mematuhi kewajipan ditetapkan.