SIBU, 18 September- Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang sedang mandi sungai bersama ahli keluarga di Kampung Seberang Pasar Lama Tatau, Bintulu, kira-kira 159 kilometer dari sini, dilaporkan hilang dipercayai dibaham buaya lewat petang ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menerusi satu kenyataan malam ini memaklumkan, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dikenali sebagai Cicilia Julan Intik tertumpu di sekitar jeti di tebing sungai.
Menurutnya sebaik sahaja panggilan kejadian diterima pada jam 7.21 malam, enam anggota dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau telah digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira lima kilometer dari balai itu.
“Komander operasi melaporkan kejadian melibatkan seorang kanak-kanak perempuan mandi di sungai bersama ahli keluarga beliau pada jam 6.30 petang dan kejadian disaksikan oleh datuk mangsa,” katanya.
Operasi pencarian mangsa bagaimanapun ditangguhkan pada pukul 8.30 malam kerana keadaan cuaca gelap dan faktor keselamatan anggota SAR dan operasi pencarian akan disambung semula pada pagi esok.