
KUALA LUMPUR, 2 Mac – Bank Simpanan Nasional (BSN) melaksanakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) ‘BSN Care Cukup Bersama’ sempena Ramadan dan Aidilfitri dengan menyalurkan sumbangan kewangan serta barangan keperluan kepada 11 pengamal media terpilih yang memerlukan sokongan.
- BSN menyalurkan sumbangan kewangan dan Kotak Rezeki kepada 11 pengamal media terpilih.
- Bantuan diberikan kepada media yang menghadapi cabaran kesihatan dan tanggungjawab keluarga.
- BSN lancar video Raya “Lebih Dari Cukup” mempromosi kesederhanaan dan semangat berkongsi.
Program itu diadakan selaras dengan tema perayaan BSN tahun ini, ‘Cukup Bersama’.
Setiap penerima menerima sumbangan wang tunai RM3,000 serta sebuah Kotak Rezeki yang mengandungi barangan keperluan asas.
Ketua Eksekutif BSN, Jay Khairil berkata, pihaknya memilih rakan media yang sedang berdepan pelbagai cabaran kehidupan, termasuk mereka yang masih menjalani rawatan seperti kemoterapi, selain ada yang hadir sebagai wakil kepada ibu atau bapa yang sedang menerima rawatan di hospital di seluruh negara.
“Bantuan yang disalurkan ini tepat pada masanya bersempena Ramadan dan diharap dapat membantu persiapan Aidilfitri golongan terbabit.
“Insya-Allah, kita akan terus menambah baik inisiatif seperti ini pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan.
Selain inisiatif kebajikan itu, BSN turut memperkenalkan video Raya pendek bertajuk ‘Lebih Dari Cukup’ dengan tanda pagar #CukupBersama.
Video tersebut menampilkan pelakon veteran Jalil Hamid bersama Syazwan Zulkifli dan Khatijah Tan.
Berlatarbelakangkan suasana kampung di Kuala Kangsar, Perak, naskhah itu mengetengahkan mesej kesederhanaan, kesyukuran dan semangat berkongsi, selari dengan visi BSN, “Tiada Rakyat Malaysia Yang Ketinggalan”.