
ALOR SETAR, 2 Mac – Tiga lagi suspek lelaki warga tempatan ditahan bagi membantu siasatan kes tembakan terhadap kenderaan yang dipandu Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam, Rabu lalu.
- Tiga lagi suspek tempatan ditahan, menjadikan jumlah keseluruhan 10 orang.
- Rampasan tiga telefon bimbit serta seorang suspek positif methamphetamine daripada saringan air kencing.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, penahanan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan individu yang ditahan setakat ini seramai 10 orang.
Menurut beliau, ketiga-tiga suspek berusia antara 44 hingga 58 tahun itu ditahan pada Sabtu lalu oleh Bahagian Siasatan Khas (D9), Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah dengan kerjasama Bukit Aman.
“Polis turut merampas tiga telefon bimbit pelbagai jenama bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasil saringan awal air kencing mendapati seorang daripada suspek positif dadah jenis methamphetamine.
Semakan lanjut turut mendapati dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau.
Ketiga-tiga suspek telah direman bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 serta Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
Sebelum ini, polis menahan tujuh suspek termasuk seorang wanita warga Thailand yang merupakan isteri kepada salah seorang suspek.
Kesemua individu terbabit berusia antara 22 hingga 52 tahun dan ditahan dalam serbuan Ops Tutup yang dilancarkan dari pukul 10.30 pagi hingga 6 petang pada hari kejadian.