Amaran ribut petir di tujuh negeri, KL dan Putrajaya hingga 7 malam

Foto hiasan / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 2 Mac– Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di tujuh negeri serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya sehingga 7 malam ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Amaran meliputi tujuh negeri serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya hingga 7 malam.
  • Cuaca dijangka ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di kawasan terlibat.
  • Senarai daerah terperinci termasuk kawasan di Kedah, Perak, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
  • Awasi perkembangan lanjut dan ikuti arahan keselamatan pihak berkuasa tempatan.

MetMalaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan negeri-negeri terlibat ialah Kedah, Perak, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Di Kedah, kawasan dijangka terjejas ialah Sik, Baling dan Kulim, manakala di Perak melibatkan Larut, Matang dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang serta Muallim.

Di Pahang, kawasan terlibat ialah Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Jerantut dan Kuantan, manakala di Selangor melibatkan Hulu Selangor, Gombak, Petaling, Hulu Langat dan Sepang.

Amaran sama turut dikeluarkan bagi Negeri Sembilan melibatkan Seremban, Port Dickson, Kuala Pilah, Rembau dan Tampin; Melaka dan Johor melibatkan Kluang, Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.- BERNAMA