KUALA LUMPUR, 10 Oktober - Belanjawan 2026 memperuntukkan RM66.2 bilion kepada Kementerian Pendidikan, meningkat berbanding RM64.2 bilion tahun ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, peruntukan itu bagi memperkukuh sistem pendidikan negara yang lebih menyeluruh, tangkas dan selaras dengan keperluan masa depan.
"Dalam dunia serba rumit yang ditandai oleh persaingan sengit ekonomi, ledakan kecerdasan buatan dan perubahan iklim yang mendesak, pendidikan tidak lagi boleh terbatas kepada aspek membaca dan menulis semata-mata.
“Kita mahu kemenjadian anak bangsa yang berfikir, beradab, berdaya saing dan berani mencipta,” kata beliau ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) telah meletakkan asas reformasi pendidikan agar sistem pengilmuan negara lebih komprehensif dan tangkas menanggapi tuntutan masa depan, selain memperkenalkan pendidikan menengah wajib susulan kelulusan Rang Undang-Undang Pendidikan (Pindaan) 2025.
“Mutu prasarana sekolah kekal keutamaan MADANI, dengan hampir RM2 bilion disediakan bagi menaik taraf lebih 520 sekolah daif, khususnya di Sabah dan Sarawak, selain membaik pulih serta menyelenggara semua jenis sekolah termasuk kemudahan murid dan bilik guru,” katanya.
Selain itu, isu keciciran pendidikan turut ditangani melalui Program Anak Kita dengan kerjasama Yayasan Hasanah melibatkan peruntukan RM30 juta, bagi memastikan pelajar kurang berkemampuan terus mendapat peluang pendidikan sewajarnya.
"Selaras dengan penekanan RMK13 terhadap pembangunan kapasiti guru, sebanyak RM115 juta diperuntukkan bagi membekalkan latihan persediaan kurikulum 2027 dan latihan pedagogi Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kepada para pendidik di seluruh negara," katanya.