fb fb fb fb fb

Banjir: Usahawan terjejas banjir boleh mohon tangguh bayaran pinjaman

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick / FOTO RTM

JOHOR BAHRU, 5 Disember- Usahawan yang terjejas akibat bencana banjir di seluruh negara boleh memohon bagi menangguhkan bayaran balik pinjaman agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi sehingga tempoh tiga bulan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata penangguhan pinjaman tersebut adalah langkah penting bagi membantu usahawan terlibat memulihkan kembali perniagaan mereka yang terjejas akibat banjir.

"Kita mempunyai dasar untuk membenarkan penangguhan pembayaran sehingga tiga bulan sekiranya perniagaan atau premis berniaga terjejas akibat banjir.

"Saya mohon kepada agensi-agensi terlibat sekiranya menerima permohonan penangguhan daripada usahawan-usahawan PMKS agar meneliti dan mempertimbangkan permohonan berkenaan", kata Ewon yang ditemui selepas mengadakan lawatan kerja ke Menara Bank Rakyat di sini.

Terdahulu, Ewon dibawa mendengar taklimat dan penerangan mengenai pembinaan Menara Bank Rakyat yang membabitkan pembangunan bersepadu di Coronation Square bernilai RM6 bilion.

Menara Bank Rakyat setinggi 35 tingkat itu merupakan menara pertama daripada lapan menara yang siap dibina sepenuhnya tahun ini. 

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD