KANGAR, 28 November - Bilangan penduduk terjejas banjir di Perlis menunjukkan penurunan selepas enam hari negeri itu dilanda bencana.
Sehingga pukul 12 tengah hari, jumlah penduduk terjejas menurun kepada 7,536 orang berbanding 7,609 orang pagi tadi. Ini turut menyaksikan penurunan bilangan keluarga kepada 2,253 keluarga, berbanding 2,276 sebelum ini.
Bagaimanapun, 24 pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi di seluruh negeri.
Menurut data Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis, Kangar kekal mencatatkan jumlah penduduk tertinggi yang berlindung di PPS, iaitu 4,491 orang daripada 1,323 keluarga.
Ia diikuti Arau dengan 1,771 orang daripada 554 keluarga, manakala Padang Besar merekodkan 1,264 orang daripada 376 keluarga.
Tinjauan mendapati beberapa kawasan yang dinaiki air beransur surut, khususnya di sekitar Arau dan Padang Besar.
Namun di Kangar, terdapat beberapa kawasan baharu yang dilaporkan mula dinaiki air akibat aliran banjir, termasuk sekitar Kampung Panggau menghala ke Kuala Perlis.