
KUALA LUMPUR, 16 Januari – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memberi jaminan bahawa setiap isu berkaitan tatakelola dan penyalahgunaan kuasa akan ditangani secara adil, telus serta berlandaskan undang-undang.
- ATM menegaskan isu tatakelola dan penyalahgunaan kuasa ditangani secara adil, telus dan berlandaskan undang-undang.
- JPP melaksanakan rombakan serta penambahbaikan pengurusan dan pentadbiran berfakta dan selaras undang-undang.
- ATM kekal profesional, berintegriti dan komited mempertahankan kedaulatan tanpa kompromi.
Langkah itu penting bagi memastikan keyakinan rakyat terhadap institusi pertahanan negara terus terpelihara.
Jaminan itu dizahirkan hasil mesyuarat Jawatankuasa Panglima-Panglima (JPP) ATM yang dianggotai Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri (Dr) Zulhelmy Ithnain yan juga Pemangku Panglima Angkatan Tentera, Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Azhan Md Othman dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris bagi meneliti isu semasa melibatkan ATM.
JPP menegaskan ATM memandang serius isu tatakelola dan penyalahgunaan kuasa serta sedang melaksanakan langkah rombak dan rawat termasuk penambahbaikan pengurusan dan pentadbiran secara teratur, berfakta dan selaras peruntukan undang-undang sedia ada.
“Perbincangan ini mencerminkan kesepaduan kepimpinan tertinggi ATM dalam memastikan kestabilan institusi, keutuhan tatakelola serta keyakinan rakyat terhadap pasukan pertahanan negara terus terpelihara.
“Sehubungan itu, JPP memohon agar semua pihak memberi ruang yang sewajarnya kepada ATM untuk memperbetul keadaan melalui mekanisme dan proses yang telah ditetapkan, tanpa sebarang tekanan atau spekulasi yang boleh menjejaskan ketelusan usaha berkenaan,” tambah kenyataan itu.
ATM turut memberi jaminan akan terus berdiri sebagai sebuah institusi pertahanan negara yang profesional, berintegriti dan diyakini, selain kekal komited mempertahankan kedaulatan serta keselamatan Malaysia tanpa sebarang kompromi.