
PUTRAJAYA, 16 Januari – Kerajaan MADANI menyasarkan pembabitan 10,000 kedai runcit kecil di seluruh negara dalam pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) menjelang akhir tahun ini, sebagai usaha memperluas akses bantuan, sekali gus merangsang ekonomi setempat.
- Kerajaan naikkan sasaran kedai runcit kecil daripada 3,000 kepada 10,000 untuk memudahkan akses SARA dan sokong perniagaan tempatan.
- SARA Bulanan 2026 melibatkan 8.1 juta penerima dengan peruntukan RM8 bilion, sementara STR Fasa 1 bermula 20 Januari.
- Bantuan Awal Persekolahan RM150 disalurkan kepada lebih 5.2 juta murid sebagai sokongan pendidikan dan meringankan beban keluarga.
Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, berkata peningkatan ketara sasaran itu berbanding 3,000 kedai runcit kecil pada akhir 2025 akan memudahkan penerima mendapatkan barangan keperluan asas di samping menyokong perniagaan kecil dan sederhana.
“Langkah ini bukan sahaja memudahkan penerima, malah membantu merangsang ekonomi setempat serta menyokong perniagaan kecil dan sederhana.” kata beliau menerusi Taklimat Pejabat Perdana Menteri yang disiarkan di laman Facebook, hari ini.
Penyaluran SARA Bulanan 2026 sudah bermula pada 9 Januari lalu membabitkan 5 juta penerima, termasuk 3.7 juta isi rumah dan 1.3 juta warga emas tanpa pasangan.
Manakala mulai hari ini penyaluran diteruskan kepada 3.1 juta penerima kategori bujang. Secara keseluruhan, SARA Bulanan 2026 membabitkan 8.1 juta penerima dengan peruntukan RM8 bilion, meningkat berbanding 5.4 juta penerima dengan peruntukan RM5 bilion pada tahun 2025.
Dalam pada itu, STR Fasa 1 Tahun 2026 dijadual mula disalurkan pada 20 Januari, membabitkan peruntukan RM1.1 bilion kepada 5 juta penerima daripada kategori isi rumah dan warga emas.
Secara keseluruhan, pelaksanaan SARA dan STR tahun ini membabitkan peruntukan RM15 bilion, jumlah tertinggi setakat ini yang akan memberi manfaat kepada kira-kira sembilan juta penerima.
Selain itu, Kerajaan MADANI turut menyalurkan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) RM150 kepada setiap murid sekolah secara berperingkat mulai 11 Januari, melibatkan lebih 5.2 juta murid, termasuk pelajar Tingkatan Enam, dengan peruntukan keseluruhan RM800 juta.
“Bantuan ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memperkasa sistem pendidikan negara serta meringankan beban kewangan ibu bapa dan penjaga khususnya pada awal tahun persekolahan,” jelasnya.