Remaja maut lemas di air terjun Lubuk Semilang

FOTO JBPM LANGKAWI

LANGKAWI, 16 Januari – Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun maut selepas terjatuh ke dalam air terjun di Hutan Lipur Lubuk Semilang,  petang tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Seorang remaja 17 tahun maut selepas terjatuh dan ditemui di dasar air terjun Lubuk Semilang.
  • Rakannya yang turut terbabit berjaya diselamatkan oleh orang awam.
  • Operasi bomba dan PPDA menemui mangsa dan dibawa ke tempat selamat, mangsa disahkan meninggal di lokasi.
  • Bomba menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan utamakan keselamatan di kawasan rekreasi air.

Mangsa dikenal pasti sebagai Muhammad Hafiz Daniel Zaini, manakala rakannya, Muhammad Ridzuan bin Othman, yang juga berusia 17 tahun, berjaya diselamatkan oleh orang awam.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 1.37 tengah hari apabila pihak berkuasa menerima panggilan kecemasan melalui talian 999 berhubung insiden lemas ketika mangsa mandi-manda di kawasan rekreasi berkenaan.

Susulan itu, Pasukan Bomba dan Penyelamat (BBP) Langkawi bersama Emergency Medical Rescue Services (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 18 kilometer dari balai bomba.

Menurut Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I Noor Sakila binti Said, pasukan tiba di lokasi pada pukul 1.55 tengah hari sebelum menjalankan penilaian awal dan menghubungi Pasukan Penyelamat Dalam Air (PPDA) bagi operasi mencari dan menyelamat.

“Mangsa ditemukan di dasar kawasan air terjun pada pukul 2.38 petang. Anggota penyelamat turun ke dalam air dengan memakai Personal Flotation Device (PFD) lengkap sebelum membawa mangsa ke tempat selamat. Namun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian,” katanya.

Operasi menyelamat ditamatkan sepenuhnya pada pukul 4.00 petang dan mayat mangsa diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

Pihak bomba turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan mengutamakan keselamatan ketika berkunjung ke kawasan rekreasi berasaskan air.