
TOKYO, 10 Jun– Negara-negara Asia perlu memainkan peranan yang lebih aktif dan dinamik dalam mencorakkan masa depan rantau ini demi mendepani cabaran geopolitik dunia yang semakin mencabar.
- Cabaran global kini bukan kebetulan, tetapi dipacu oleh pendekatan geopolitik lama berteraskan dominasi dan perebutan pengaruh.
- Tragedi Gaza, ketegangan Asia Barat dan perang Ukraine menggambarkan kerentanan keamanan serta had konsensus antarabangsa.
- Persidangan Antarabangsa Nikkei berfungsi sebagai platform tinggi menghimpunkan pemimpin serantau untuk menangani isu-isu global mendesak.
Perkara itu ditegaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan bahawa cabaran global semasa bukanlah berlaku secara kebetulan.
Sebaliknya ia didorong oleh pendekatan geopolitik lama yang masih berteraskan dominasi serta perebutan pengaruh oleh kuasa-kuasa besar.
“Tragedi yang berterusan di Gaza, ketegangan di seluruh Asia Barat serta kesan rantaiannya terhadap global, di samping perang yang berpanjangan di Ukraine mengingatkan kita tentang rapuhnya keamanan dan had konsensus antarabangsa.
“Ini adalah kebimbangan mendesak yang memberi kesan langsung kepada fabrik perintah antarabangsa,” katanya Ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Nikkei Ke-31 disini hari ini.
Persidangan dua hari itu merupakan platform berprestij yang menghimpunkan barisan pemimpin tertinggi dan tokoh korporat berpengaruh di peringkat serantau.
Antara pemimpin yang turut dijadual menyampaikan ucaptama termasuk Presiden Timor-Leste Jose Ramos-Horta, Perdana Menteri Laos Sonexay Siphandone, Timbalan Perdana Menteri Thailand Sihasak Phuangketkeow, dan Timbalan Perdana Menteri Vietnam Le Tien Chau.
Perdana Menteri kini berada di Jepun sempena lawatan rasmi selama tiga hari, yang dilihat sebagai langkah strategik Malaysia untuk memperkukuh dan melonjakkan kerjasama ke tahap yang lebih tinggi.