fb fb fb fb fb

AS puji peranan Datuk Seri Anwar urus konflik Kemboja-Thailand

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) menerima Kunjungan Hormat Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Kemboja, Jeneral Tea Seiha (tiga,kiri) dan Pemangku Menteri Pertahanan Thailand, Jeneral Natthaphon Narkphanit (empat, kanan) di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 8 Ogos – Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf dan memuji kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam usaha memulihkan keamanan di rantau Asia Tenggara, khususnya dalam menangani konflik sempadan antara Kemboja dan Thailand.

Menerusi satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan di Washington, Presiden Donald Trump bersama Setiausaha Negara, Marco Rubio menyatakan penghargaan terhadap peranan aktif Malaysia dan menyifatkan Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) yang berlangsung di Kuala Lumpur sebagai "langkah awal yang konstruktif" ke arah pelaksanaan gencatan senjata antara kedua-dua negara terbabit.

"Kami mengalu-alukan usaha Malaysia, khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas kepimpinan beliau dalam memudahcara dialog ini," menurut kenyataan itu.

AS turut merakamkan penghargaan terhadap kerjasama erat Malaysia dalam penganjuran Mesyuarat Khas pada 28 Julai lalu.

Mesyuarat khas itu disifatkan sebagai titik tolak penting dalam memperkukuh hubungan diplomatik serantau dan peranan Malaysia sebagai pengantara berpengaruh di Asia Tenggara.

Trump dan Rubio turut menggesa kedua-dua negara supaya menghormati sepenuhnya perjanjian gencatan senjata yang telah dicapai, dan terus berusaha ke arah keamanan yang berkekalan.

Peranan Malaysia dalam isu ini menegaskan, kedudukan negara sebagai pemain diplomatik utama di rantau ini, dan mencerminkan dasar luar yang berpaksikan keamanan, kestabilan, serta penyelesaian melalui dialog.

Pemerhati politik antarabangsa menyifatkan pengiktirafan oleh Washington itu sebagai satu pencapaian penting bagi Malaysia dalam mengukuhkan pengaruh diplomatik di peringkat global.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI