AS catat lebih 2,300 kes demam campak, tertinggi dalam tiga dekad

Mark Kelly/ REUTERS

WASHINGTON, 29 Julai – Amerika Syarikat (AS) merekodkan 2,318 kes demam campak setakat tahun ini, sekali gus melepasi jumlah keseluruhan kes yang dicatatkan pada 2025 dan menjadi angka tahunan tertinggi dalam tempoh 35 tahun.

RINGKASAN BERITA AI
  • CDC mengaitkan peningkatan kes dengan penurunan kadar imunisasi dan peningkatan keraguan terhadap vaksin yang dipengaruhi kenyataan Robert F. Kennedy Jr.
  • Setakat ini tiada kematian dilaporkan, namun pakar mengatakan penularan dan trend kes masih membimbangkan.
  • Surat senator mendedahkan penularan di pusat tahanan ICE dan pegawai kesihatan keluarkan notis pendedahan lokasi awam.
  • Pegawai menegaskan vaksin MMR kekal langkah paling berkesan untuk mencegah campak terutama apabila pelajar kembali ke sekolah.

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), peningkatan itu merupakan jumlah kes tertinggi dalam setahun sejak penularan besar penyakit berjangkit berkenaan antara 1989 hingga 1991.

Setakat ini, tiada kematian akibat demam campak dilaporkan.Pakar perubatan mengaitkan peningkatan kes itu dengan penurunan kadar imunisasi, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kemunculan semula penyakit yang sebelum ini diisytiharkan hampir berjaya dihapuskan di AS kira-kira 25 tahun lalu.

Sebahagian pakar turut mengaitkan trend tersebut dengan peningkatan keraguan terhadap vaksin yang didakwa dipengaruhi kenyataan Setiausaha Kesihatan AS, Robert F. Kennedy Jr.

Senator AS, Mark Kelly, berkata wabak penyakit boleh berlaku apabila kadar vaksinasi masyarakat menurun.

“Apabila masyarakat tidak mendapatkan vaksin, wabak akan berlaku dan nyawa boleh terkorban akibat penyakit. Perkara itu tidak sukar untuk difahami,” katanya pada satu program sempena pembukaan sesi persekolahan di Phoenix.

Beliau merupakan antara beberapa anggota Parti Demokrat yang mengemukakan surat kepada Jabatan Keselamatan Dalam Negeri awal bulan ini bagi mendapatkan penjelasan berhubung laporan penularan campak di pusat tahanan Imigresen dan Penguatkuasaan Kastam (ICE) di Florence, Arizona.

Surat berkenaan memaklumkan sekurang-kurangnya tujuh tahanan dijangkiti demam campak di dua kemudahan, iaitu Central Arizona Florence Correctional Center dan Florence Service Processing Center.

Bagaimanapun, jurucakap ICE memaklumkan setakat 20 Julai lalu, tiada lagi kes campak aktif dalam kalangan tahanan di kedua-dua kemudahan tersebut.

Sementara itu, Pengarah Perubatan Health Observatory di Arizona State University, Dr. Rebecca Sunenshine berkata, peningkatan kes baharu dan penularan wabak di beberapa lokasi menunjukkan situasi masih membimbangkan.

Beliau berkata, walaupun sukar untuk meramalkan sama ada AS akan kehilangan status penghapusan demam campak, trend semasa menunjukkan keadaan tidak bergerak ke arah yang positif.

Campak merupakan penyakit berjangkit yang lazimnya menyebabkan demam, ruam serta masalah pernafasan dan boleh dicegah melalui vaksin campak, beguk dan rubela (MMR).

Menurut CDC, vaksin tersebut mempunyai keberkesanan sehingga 97 peratus selepas dua dos.

Dalam perkembangan berkaitan, pegawai kesihatan awam di Maricopa County, yang menempatkan bandar Phoenix, telah mengeluarkan beberapa notis pendedahan sejak kebelakangan ini, melibatkan lokasi yang dikunjungi individu disahkan dijangkiti campak.

Antara lokasi berkenaan termasuk restoran, pusat beli-belah serta Stadium Chase Field, manakala daerah itu merekodkan 25 kes campak sejak awal tahun.

Pakar kesihatan menegaskan pengambilan vaksin kekal sebagai langkah paling berkesan bagi mencegah penularan campak, khususnya ketika pelajar kembali ke sekolah selepas cuti musim panas.- REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.