
KUALA TERENGGANU, 29 Julai- Individu atau pihak yang menyebarkan video dan imej berkaitan cubaan seorang pelajar perempuan terjun dari bangunan sebuah sekolah di sini boleh dikenakan denda sehingga RM50,000.
- Hormati privasi pelajar dan keluarganya, elakkan tindakan yang mengaibkan.
- Jangan muat naik, kongsi atau sebarkan gambar, rakaman video atau kandungan berkaitan di mana-mana platform media sosial.
- Perbuatan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 jika melanggar undang-undang.
- Jangan membuat spekulasi di media sosial yang boleh menjejaskan siasatan kes.
Ketua Polis Terengganu, DCP Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata tindakan itu diambil bagi menghormati privasi pelajar terbabit dan keluarganya.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak memuat naik, berkongsi atau menyebarkan sebarang gambar, rakaman video atau kandungan berkaitan kejadian berkenaan di mana-mana platform media sosial.
“Perbuatan sedemikian bukan sahaja mengaibkan mangsa dan keluarganya, malah jika dilakukan sehingga melanggar undang-undang, tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini, pagi tadi.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi di media sosial yang boleh menjejaskan siasatan kes.
Dalam kejadian kira -kira 9.30 pagi semalam, tindakan pantas Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu menyelamatkan pelajar berusia 14 tahun itu daripada cubaan terjun dari tingkat dua bangunan sebuah sekolah tersebut.
Asisten Komisioner Azli Mohd Noor dilapor mengambil masa kira-kira 10 minit memujuk remaja berkenaan yang dipercayai berada dalam keadaan tertekan.